Segera Tangani Isu Sakit Mental - Lee Lam Thye

KUALA LUMPUR, 10 Jan (Malaysiaaktif) : Kerajaan digesa segera menangani isu sakit mental dan mempertingkatkan program berkaitan pembangunan kesihatan mental di negara ini.

Anggota Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental, Tan Sri Lee Lam Thye berkata kejadian terbaru di mana dua kanak-kanak kecil dibunuh jiran mereka di Yan, Kedah semalam, sepatutnya menjadi peringatan kepada semua pihak mengenai betapa seriusnya isu berkenaan.

“Seperti bom jangka, mereka yang menghidap sakit mental boleh ‘meletup’ bila-bila masa yang boleh menjejaskan keluarga dan masyarakat, selain syarikat atau jabatan kerajaan tempat di mana mereka bekerja.

“Lebih banyak usaha perlu diambil untuk mempromosikan pembangunan kesihatan mental di peringkat momuniti selain orang ramai memainkan peranan untuk mengatasi pelbagai masalah yang kini semakin meningkat disebabkan pelbagai faktor,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, walaupun sesetengah orang akan mencari rawatan altrnatif untuk cuba menyembuhkan sakit mental, adalah lebih baik jika mereka dirujuk kepada pakar psikologi untuk membuat penilaian terhadap tahap kesihatan mental pesakit berkenaan.

“Pencegahan awal sudah tentu dapat mengurangkan kemungkinan penghidap sakit mental bertindak ganas atau melakukan perbuatan ekstrem seperti membunuh orang atau membunuh diri,” kata beliau.

Beliau menambah, kadang-kadang kelainan atau sakit mental boleh berpunca daripada penyalahgunaan dadah dan ia seharusnya membuka mata orang ramai untuk melihat betapa seriusnya isu berkenaan dan masyarakat mesti mencari jalan bagaimana hendak menangani masalah ketagihan dadah yang jumlahnya meningkat saban tahun.

“Perkembangan kesihatan mental adalah sangat kritikal dan seluruh anggota masyarakat perlu bersama-sama mengatasi masalah kesihatan mental ini. Jika kita mengabaikannya maka kitalah yang akan menanggung akibatnya.

“Semua pihak haruslah berhenti mencela pesakit mental yang seringkali dianggap sebagai ‘orang gila’. Daripada mencela atau menghina mereka, anggota masyarakat sepatutnya menolong penghidap masalah mental mendapatkan khidmat kaunseling atau rawatan psikiatri,” kata beliau.

Dalam kejadian terbaru, suspek dilaporkan membunuh mangsa selepas terlibat dalam pergaduhan dengan bapa mangsa sebelum itu.

Tragedi yang berlaku pada 9.30 malam itu meragut nyawa Muhammad Hafis, 14 bulan, yang dikelar di leher dan kakaknya berusia empat tahun, Nurul Hanim Idris, yang ditetak seluruh badan. -BERNAMA