Kertas Putih ATM Dibentang Di Parlimen September Ini - Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR, 10 Jan (Malaysiaaktif) - Kementerian Pertahanan dijangka membentangkan satu kertas putih yang menggariskan pelan pembangunan keupayaan terkini Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam sidang Parlimen September ini.


Menterinya, Mohamad Sabu berkata kertas putih itu dirangka dengan merujuk garis panduan dan aspek pertahanan negara lain seperti Jepun, New Zealand dan Australia bagi memantapkan lagi sistem ketenteraan negara.


“Ia juga dirangka dengan mengambil kira aspek jangka pendek dan panjang dasar pertahanan negara sekali gus memberi fahaman secara menyeluruh kepada rakyat.


“Selain itu, kita juga tidak mahu rakyat lupa mengenai peranan ATM. Atas sebab itu, dasar pertahanan negara perlu difahami merangkumi semua aspek,” katanya kepada pemberita selepas majlis Perutusan Khas Menteri Pertahanan 2019 di Wisma Perwira, di sini hari ini.


Turut hadir Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Halimi Abd Manaf.


Mohamad berkata kertas putih berkenaan akan dibentangkan kepada rakyat setelah diluluskan di Parlimen.


“Kertas putih ini akan berperanan memaklumkan kepada Parlimen dan rakyat berhubung cabaran semasa Kementerian Pertahanan.


“Usaha ini bukan bermakna mendedahkan keseluruhan kepentingan strategik dan kerahsiaan ATM, tapi ke arah meningkatkan ketulusan dan kefahaman masyarakat terhadap kepentingan pertahanan dan keselamatan,” katanya.


Mengulas mengenai militan Daesh, Mohamad berkata pihaknya sentiasa memantau aktiviti kumpulan itu walaupun tiada insiden pengganas dilaporkan di Malaysia sejak kebelakangan ini.


“Kita sentiasa pantau, pihak berkuasa sentiasa bekerjasama dan memberi maklumat berkaitan kepada saya,” katanya. - BERNAMA