Khidmat Penulis 'Surat Teriak' Masih Diperlukan

 
 Laporan/foto: Fasharina Kholil/Sazli Hassan (Sik)

SIK, 11 Jan (Malaysiaaktif) - Sebut saja 'surat teriak' pasti ramai yang tidak pernah mendengar apatah lagi mengetahui maksudnya. Surat teriak ini sebenarnya merujuk kepada surat rayuan ataupun surat petisyen.

Ahmad Abdullah, 62, merupakan penulis surat teriak yang telah berkecimpung di dalam bidang penulisan surat rasmi ini selama hampir 20 tahun yang lalu.

"Pada mulanya saya hanya menjalankan perkhidmatan ini di rumah selama hampir 10 tahun. Pelanggan pula terdiri daripada jiran tetangga serta orang-orang kampung saja.

Pak Mad serius menjadikan kerjaya ini sebagai punca rezekinya sejak 20 tahun yang lalu. Pak Mad serius menjadikan kerjaya ini sebagai punca rezekinya sejak 20 tahun yang lalu.



"Setelah lulus ujian dan mendapat lesen daripada Jabatan Perundangan Negeri Kedah, saya mula meluaskan perkhidmatan ini dengan menyewa kedai berhampiran Pejabat Daerah dan Tanah Sik,” katanya ketika ditemui semalam.

Ujar pesara ini lagi, selain membantu pelanggan menulis pelbagai jenis surat, dia turut mengambil upah mengisi pelbagai borang yang melibatkan urusan dengan jabatan kerajaan dan mula beroperasi bermula di antara pukul 9 pagi hingga 5 petang pada setiap hari bekerja iaitu Ahad hingga Khamis.

"Setiap hari saya akan berhadapan dengan pelbagai karenah pelanggan yang melibatkan pelbagai masalah dan isu. Justeru itu, bukan kemahiran dan pengetahuan tentang surat saja yang perlu ada, kemahiran komunikasi serta tatacara melayan pelanggan juga penting bagi mendapatkan maklumat yang jelas, tepat dan lengkap,” tambahnya.

Menjadi seorang penulis surat teriak ini juga memerlukannya untuk menjaga etika dan kerahsiaan maklumat pelanggan terutamanya apabila membabitkan surat perceraian dan kes-kes berat yang lain.

Ditanya kelangsungan perkhidmatan ini dengan pendapatan yang tidak menentu serta kecanggihan teknologi pada masa kini, Pak Mad mempunyai pendapatnya sendiri.

"Bagi penduduk di kawasan luar bandar seperti Sik, perkhidmatan ini masih lagi relevan memandangkan tidak semua penduduk di sini mampu untuk memiliki komputer di rumah. Sekiranya ada pun, tidak ramai yang mempunyai kemahiran serta pengetahuan untuk membuat surat bagi urusan rasmi.

"Selagi hayat dikandung badan, saya akan meneruskan khidmat sebagai penulis surat teriak dan berharap akan ada pelapis khususnya dalam kalangan generasi muda kerana pada hari ini pekerjaan ini dimonopoli oleh rakan seusia saja," ujarnya mengakhiri perbualan.
-SH