Disiplin Latihan, Resipi Gapai Emas

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian

LABUAN,  12 Jan (Malaysiaaktif) - Disiplin yang tinggi setiap kali menjalani latihan menjadi resipi kejayaan gandingan emas Boling Padang Labuan pada Para Sukan Malaysia (SUKMA) Perak 2018 lalu.

Gandingan Abdul Hajis Nikman dan Mat Daud Mohamad berkata, disiplin semasa menjalani latihan dan persefahaman antara mereka menjadi ramuan utama mencapai kejayaan memperoleh pingat emas menerusi Kategori Beregu Terbuka B7.

"Kami sudah bergandingan sejak 2012 dan setiap kali turun latihan kami bagi tumpuan sepenuhnya kepada apa yang diarah jurulatih.

"Kami juga akan pastikan untuk sentiasa berlatih bersama-sama bagi meningkatkan lagi persefahaman dan sentiasa berbincang mengenai strategi permainan yang kami inginkan," kata Abdul Hajis yang juga memenangi pingat perak acara Boling padang kategori perseorangan B7 pada temasya sama.

Abdul Hajis (kiri) dan Mat Daud (kanan) Abdul Hajis (kiri) dan Mat Daud (kanan)



Selain itu, mereka turut menjadikan segala bantuan dari Perbadanan Labuan, Jabatan Belia dan Sukan Labuan, Persatuan Sukan dan Rekreasi OKU Negeri Labuan (PESRON LABUAN) dan Persatuan Lawn Bowl Labuan sebagai pendorong mereka berlatih dengan gigih.

"Alhamdulillah atas pencapaian ini dan kami ingin mengucapkan terima kasih kepada segala bantuan, kemudahan gelanggang latihan secara percuma, elaun latihan dan sokongan yang diberikan adalah sebahagian dari pembakar semangat kami memperoleh emas dalam Para SUKMA lalu.

"Saya dan rakan-rakan lain berjanji akan lebih berusaha untuk mengekalkan prestasi dalam menghadapi Para SUKMA 2020 di Johor bahru nanti.

"Selain mengekalkan gandingan kami juga ingin mencari bakat-bakat baharu untuk dijadikan pelapis serta kesinambungan pasukan boling padang para Labuan," katanya yang ditemui media selepas Majlis Penyampaian Insentif Temasya Para SUKMA Perak 2018, kelmarin.

Seorang lagi atlit Para SUKMA Labuan yang memenangi pingat perak dalam sukan badminton kategori Lelaki Berdiri Kerdil Perseorangan SS6, Awangku Tajul Rizal Pg. Jaafar berkata, insentif yang diterima akan menjadi pendorong untuk mereka lebih berusaha keras selepas ini.

Awangku Tajul Awangku Tajul



"Kami akan berusaha untuk membawa pulang pingat emas untuk Labuan pada Para SUKMA 2020 di Johor bahru dan akan meneruskan latihan setiap minggu bersama jurulatih kami iaitu Pahat Chalan," kongsinya penuh gembira.

Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Labuan, Dato Sri Amir Hussien dalam ucapan perasmiannya melahirkan rasa bangga dengan pencapaian Kontinjen W.P Labuan pada Para SUKMA Perak 2018.

" Walaupun Labuan Kontinjen paling kecil, iaitu hanya 31 orang termasuk atlet dan Pegawai,  dengan menyertai sebanyak 4 acara sukan iaitu boling padang, badminton, powerlifting dan memanah, kita berjaya memperolehi satu Emas, dua Perak dan satu Gangsa mengatasi pencapaian Paralimpiad Sarawak 2016.

"Dengan kejayaan membawa pulang pingat tersebut ia menunjukkan WP Labuan juga adalah pesaing yang patut disegani," katanya.

Beliau juga menggesa semua pihak mengembleng tenaga dalam memperkasa pembangunan Sukan OKU di WP Labuan.

"Pembangunan Sukan OKU di WP Labuan ini patut diperkasakan lagi bagi mencungkil bakat – bakat baru dan kita mampu menyertai lebih banyak acara dengan bertambahnya bilangan atlet.

"Diharapkan juga kita dapat mengoptimumkan penggunaan kemudahan – kemudahan sukan yang ada bagi persiapan Para Sukma ke-20 di Johor pada tahun 2020 nanti.

"Pencapaian masih boleh dipertingkatkan lagi kerana atlet - atlet kita ini saya difahamkan merupakan atlet baru terutama dalam sukan badminton dan powerlifting," jelasnya yang turut menyampaikan insentif pada majlis itu.

Pada Majlis itu, Pemenang Pingat Gangsa, acara badminton kategori Lelaki Berdiri Kerdil Perseorangan SS6, Sulaiman Suling dan Jurulatih Badminton Para SUKMA Labuan turut menerima insentif.

Hadir sama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan (Pengurusan), Fadzilah Hj. Mahmud, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Labuan, Mohd Hazan Dahari , Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Labuan, Ishak Aku Abd Rahman dan Presiden Pesron Labuan, Wong Foo Leong

 

EM