Rukun Negara Kunci Keharmonian, Perpaduan Kaum

Laporan/foto: Eparizan Mansor/ Syed Hisham Shah (Putrajaya)

GOMBAK, 12 Jan (Malaysiaaktif) - Rukun Negara yang diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 diperkenalkan berikutan peristiwa 13 Mei 1969 yang melemahkan perpaduan antara kaum di Malaysia, dengan tujuan utama untuk membentuk perpaduan yang kukuh.

Prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara jelas merupakan kunci kepada keharmonian dan perpaduan kaum demi kejayaan dan kestabilan Malaysia namun, baru-baru ini tular di media sosial perkataan ‘Liberal’ yang diselewengkan oleh pihak tertentu dengan menyamakan ‘Liberal’ sebagai ideologi ‘Liberalisme’ yang terkandung dalam Rukun Negara.

MALAYSIAAKTIF berkesempatan menemu bual Pakar Undang-undang Perlembagaan, Prof. Madya Dr. Shamrahayu Abdul Aziz di pejabat beliau di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bagi mendapatkan pencerahan tentang isu ini.

Pakar Undang-undang Perlembagaan, Prof. Madya Dr. Shamrahayu Abdul Aziz Pakar Undang-undang Perlembagaan, Prof. Madya Dr. Shamrahayu Abdul Aziz



1. Boleh Dr. huraikan apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan ‘Liberal’ mengikut Rukun Negara?

‘Liberal’ yang merujuk kepada matlamat yang terkandung dalam Rukun Negara, setelah dirujuk dalam Kamus Dewan, perkataan tersebut seiring dengan perkataan ‘bebas’ yang mana ia lebih menjurus kepada berfikiran terbuka untuk menerima sesuatu perkara. Tetapi masyarakat harus membezakan perkataan ‘liberal’ ini daripada liberalisme iaitu idealogi liberal seperti menyamaratakan agama yang mana ianya cukup berbeza dengan perkataan ‘liberal’ yang asal.

Merujuk kepada beberapa penulisan akademik, ‘liberal’ selalunya bertentangan dengan perkataan ‘konservatif’ yang kebiasaannya merujuk kepada perkara yang sudah menjadi tradisi ataupun warisan sahaja. Apabila ‘liberal’ diseiringkan dengan konservatif maka kita harus membuka minda kita terhadap sesuatu yang bebas namun harus dipisahkan dengan liberalisme ataupun pemikiran mahupun idealogi yang membebaskan manusia daripada agama.

2. Dalam keterbukaan ‘Liberal’ itu, adakah terdapatnya sempadan yang mengehadkan sesuatu kebebasan tersebut?

 Merujuk kepada ‘liberal’ yang digunapakai dalam Rukun Negara, liberal tersebut merujuk kepada liberal terhadap tradisi dan budaya. Umum maklum bahawa negara kita ini cukup kaya dengan amalan-amalan tradisi dengan etnik-etnik yang pelbagai, jadi perkataan liberal ini digunakan bagi membolehkan kita menerima tradisi-tradisi yang berbeza.

Apabila kita melihat kepada matlamat negara yang keempat iaitu membentuk satu sikap yang liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai-bagai corak ini, ianya terikat dengan prinsip-prinsip Rukun Negara di mana ia tidak boleh membebaskan kita daripada tuhan. Kita boleh berfikiran liberal macam mana sekalipun namun harus menerima bahawa kita adalah masyarakat yang mempunyai tuhan.

Kita boleh bersifat demokratik, tetapi kita tidak boleh lupa tuhan. Jadi apabila kita menyebut perkataan liberal itu sudah tentu ia bukan membebaskan kita daripada prinsip-prinsip yang disebutkan dalam Rukun Negara.

Walaupun kita menggunakan istilah ‘liberal’, namun ia bergantung kepada sekatannya, atau hadnya, atau sempadannya. Liberal hanya melibatkan tradisi dan adat resam yang pelbagai yang hendaklah sentiasa terikat dengan lima prinsip Rukun Negara tersebut.

3. Dalam aspek perundangan, apakah pihak berwajib boleh mengambil tindakan terhadap mereka yang sengaja menularkan isu tersebut?

 Saya fikir tindakan undang-undang adalah langkah yang terakhir sama ada kita mahu membawa pertuduhan ataupun tidak. Sebagai orang yang terlibat dalam bidang pendidikan undang-undang, saya percaya pendidikan itu lebih utama supaya kita boleh faham tentang matlamat-matlamat negara itu sendiri. Di sini saya juga mahu kongsi bahawa Rukun Negara ini sebenarnya belum lagi dihayati dan diinsafi oleh masyarakat Malaysia.

Ramainya, kita hanya membaca prinsip-prinsip yang lima ini dan kita jarang sekali membaca lima matlamat negara yang awal itu. Ini jarang dibawa kehadapan masyarakat. Kita kata kita mengangkat matlamat-matlamat tersebut tetapi kita sendiri tidak tahu apa yang disebutkan itu.

Pada saya pendidikan tentang Rukun Negara ini perlu ditambah baik, perlu dinilai dan diisi di dalam sanubari semua guru, pendidik di semua peringkat termasuklah peringkat tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah. Di universiti lebih-lebih lagi kerana saya percaya ia perlu dilakukan pendidikan sedemikian rupa. Faham matlamat negara, bukan setakat prinsip-prinsip Rukun Negara.

4. Perlukah pihak berwajib mengubah objektif Rukun Negara yang telah diguna pakai sekian lama bagi mengelakkan kekeliruan terhadap orang ramai?

Saya fikir, walaupun perkataan ‘liberal’ itu digunakan ia tidak semestinya bermaksud kita mengamalkan liberalisme. Jadi kita perlu melihat kepada konteks tersebut memandangkan Rukun Negara ini umurnya sudah lebih 50 tahun, memadai cukup untuk kita faham sahaja. Tidak perlu dipinda atau ubah suai kerana kita tahu, sejarah Rukun Negara ini ialah untuk perpaduan negara. Jika kita menggunakan perkataan ‘liberal’ itu tidak bermakna kita menerima liberalisme agama.

Apa yang perlu dibuat sekarang adalah fahamkan masyarakat dan masyarakat jangan cepat melenting serta fahami istilah itu dalam konteks ayat-ayat yang digunakan dalam Rukun Negara. Pendekatan ini bagi memahamkan masyarakat tentang matlamat-matlamat negara yang lima di samping menegaskan tentang prinsip-prinsip Rukun Negara tersebut.

5. Apakah nasihat Dr. berhubung isu ini yang boleh dilakukan oleh masyarakat secara umumnya?

Apabila kita bercakap tenang Rukun Negara, kita hendaklah betul-betul memahaminya. Sebagai rakyat Malaysia, marilah sama-sama mendalami matlamat dan prinsip-prinsip Rukun Negara supaya kita memahaminya dengan jelas. Sekiranya terdapat kekeliruan, dapatkan jalan penyelesaian dengan mencari buku-buku ilmiah atau merujuk ilmuwan-ilmuwan terhadap permasalahan tersebut.

Kita hendaklah sentiasa menjaga segala penulisan dan perkataan yang digunapakai dalam media sosial supaya kita dapat memberikan pendidikan kepada masyarakat dan bukan memberi keburukan kepada masyarakat. Sama-samalah kita memahami Rukun Negara dan memanifestasikan dalam kehidupan seharian kita, memahaminya dan memanjangkannya kepada generasi akan datang.