Bukan Hapus Subsidi, Penjajaran Berfokus Mengikut Kategori - MB

Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 12 Jan (Malaysiaaktif) - Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari memaklumkan penjajaran semula program-program kerajaan Selangor bagi memastikan bantuan disalurkan secara berfokus mengikut kategori dan kumpulan.

Beliau berkata demikian bagi menolak dakwaan pihak tertentu penjajaran program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) merupakan langkah kerajaan negeri menghapuskan subsidi kepada rakyat selepas kemenangan besar pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu.

"Program bantuan air percuma yang berfokus untuk B40 bukan salah satu penghapusan subsidi rakyat, sebaliknya kerajaan negeri mengubah bentuk bantuan untuk golongan pertengahan kepada bantuan mengikut kategori.

"Polisi kerajaan negeri melalui pembentangan Belanjawan 2019 menetapkan perbelanjaan untuk program IPR bukan sekadar pemberian semata-mata tapi memastikan ianya berdaya dan perkasa rakyat.

Orang ramai sedang menyemak permohonan bantuan kerajaan negeri Selangor sempena program Serahan IPR DUN Batu Caves malam tadi. Orang ramai sedang menyemak permohonan bantuan kerajaan negeri Selangor sempena program Serahan IPR DUN Batu Caves malam tadi.



"Penstruktuan semula program kerajaan negeri itu untuk menyalurkan bantuan secara berfokus mengikut kategori dan keperluan kumpulan," jelas beliau.

Menurut Amirudin, sejak tahun 2008 hingga Disember 2018, sebanyak RM3.2 bilion telah dibelanjakan kerajaan negeri untuk program IPR.

"Bermula dengan Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) sehingga kini dengan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan kad Peduli Sihat," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua.

Amirudin berkata demikian semasa berucap di program Serahan Bantuan IPR peringkat Dewan undangan Negeri (DUN) Sungai Tua, di Taman Amaniah Batu Caves malam tadi.

Menurut beliau lagi, penjajaran IPR adalah bagi memastikan program yang dijalankan dapat dilaksanakan dalam jangka masa masa panjang bergantung kedudukan kewangan negeri.

"Dulu program IPR dianggap sebagai 'gula-gula' politik, tapi ternyata selepas 10 tahun dilaksanakan ternyata ia memberi hasil yang baik kepada rakyat dan Selangor masih makmur serta kekal maju," katanya.

-NAZ