50 Tahun Minat, Jiwa Hanya Bersama BSMM

Laporan/ Foto:Fauzrina Bulka/ Azman Jumat (Kota Kinabalu)

PENAMPANG, 14 Jan (Malaysiaaktif) - Menyertai Persatuan Palang Merah (PM) sejak di bangku sekolah dan gemar menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan membuatkan penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jimmy Hing, 68, menanamkan jiwanya hanya untuk persatuan tersebut.

Menurutnya, sering juga dia dipelawa untuk menyertai badan beruniform lain, namun kenangannya bersama rakan-rakan yang terlibat dalam banyak aktiviti bantuan kemanusiaan menyebabkan dia kekal bersama PM yang kini dikenali sebagai Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM).

“Sejak dahulu saya memang sering melibatkan diri dengan memberikan bantuan kepada masyarakat dan menjelajah ke kampung-kampung walaupun ketika itu pengangkutan sememangnya agak sukar.

Francisca, Lawrence, Marcella, Asnan, Celestina, Simon, Jimmy dan Elsie bergambar kenangan selepas penyampaian anugerah Francisca, Lawrence, Marcella, Asnan, Celestina, Simon, Jimmy dan Elsie bergambar kenangan selepas penyampaian anugerah



“Memandangkan Palang Merah merupakan sebuah persatuan antarabangsa yang sering terlibat ketika perang pada zaman dahulu, maka persatuan ini hanya sesuai disertai oleh mereka yang punya kemahuan untuk membantu.

“Dengan peralatan yang lengkap dan lebih maju kini, serta teknologi yang lebih canggih sangat memudahkan tugas-tugas membantu masyarakat dilakukan,” ujarnya.

Pelbagai sijil dan anugerah telah diterima sejak 1969 sama ada daripada BSMM Peringkat negeri mahupun kebangsaan yang antaranya merupakan pegawai penjaga Pasukan Bantuan Sukarela (VAD) yang pertama di daerah Penampang.

Menurutnya yang juga Naib Pengerusi BSMM Daerah Penampang, dengan menyertai Palang Merah juga memberinya peluang untuk ke New Zealand dan bertemu ahli-ahli di sana yang sangat mengalu-alukan kehadirannya bila memperkenalkan diri daripada Malaysia.

Celestina (empat dari kiri) dan Asnan (empat dari kanan) bersama pegawai-pegawai dan delegasi antarabangsa Celestina (empat dari kiri) dan Asnan (empat dari kanan) bersama pegawai-pegawai dan delegasi antarabangsa



Jimmy turut berharap lebih ramai anak-anak muda untuk menyertai VAD lebih-lebih lagi ketika ini kerap berlaku pelbagai bencana di seluruh dunia di mana mangsa-mangsa yang terlibat pastinya memerlukan banyak sokongan dan bantuan.

Jimmy ditemui selepas menerima anugerah dalam Majlis Malam Apresiasi VAD 20 yang diadakan di KDCA Cultural Village pada sabtu malam.

Seramai 20 orang ahli VAD menerima sijil penghargaan dan selain daripada Jimmy, tiga individu lagi turut menerima anugerah iaitu Anugerah Ahli Paling Aktif diberi kepada Marcella Hanson, Anugerah Ahli Paling Berbakat diberi kepada Lawrence Loimin serta Anugerah Ahli Paling Berjasa diberi kepada Elsie Gomion.

Sementara itu, Pegawai Penjaga VAD dan Belia BSMM daerah, Leslie Chan Boon Siang mengakui bahawa Jimmy merupakan seorang yang peramah dan prihatin.

Leslie Chan Boon Siang Leslie Chan Boon Siang



“Beliau sering membantu persatuan jika ada sebarang perkara atau masalah yang tidak dapat diselesaikan. Beliau adalah seorang sangat ringkas dan sehingga hari ini masih aktif turun padang bertugas bersama-sama ahli VAD.

“VAD atau Voluntary Aid Detachment ini boleh disertai oleh sesiapa sahaja yang berumur 18 tahun ke atas dan berminat menjadi sukarela dalam misi kemanusiaan.

“Setakat ini kita ada lebih kurang 60 ahli VAD yang aktif di Penampang di mana keistimewaannya mereka boleh menyertai kursus-kursus pertolongan cemas BSMM secara percuma.

“Selain itu, mereka boleh menjadi sukarelawan semasa bencana alam dan peluang lebih luas untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan,” kata Leslie.

Celestina ketika menyampaikan ucapan perasmian Celestina ketika menyampaikan ucapan perasmian



Menurutnya, pelbagai aktiviti telah dilakukan bersama dengan ahli VAD dan kenangan manis apabila menyertai Hari Palang Merah Sedunia Peringkat Negeri 2018 dan berjaya membawa pulang Piala naib johan dalam perbarisan lintas hormat dan tempat keempat dalam pertandingan Persembahan Kebudayaan.

Leslie turut menggalakkan lebih ramai ahli untuk menyertai mereka dan mereka banyak menganjurkan program Kebajikan dan Khidmat Masyarakat supaya masyarakat tahu apa fungsi VAD sebenarnya di dalam persatuan.

Selain itu BSMM Penampang juga turut menganjurkan Program Kesedaran Rakyat seperti pameran, kursus pertolongan cemas untuk masyarakat awam dan sebagainya.

Malam Apresiasi VAD 20 tersebut disempurnakan oleh Pengerusi BSMM Daerah Penampang, Datin Seri Panglima Celestina K Jinu.

Celestine menyerahkan sijil penghargaan kepada Francisca Celestine menyerahkan sijil penghargaan kepada Francisca



Menurut Celestina, ia merupakan malam untuk memberi penghargaan kepada semua ahli VAD 20 yang telah menunjukkan perkhidmatan cemerlang dan profesional dalam menjalankan tanggungjawab dan tugas yang diberikan.

“Sesungguhnya malam apresiasi ini membuktikan tuan-tuan dan puan-puan merupakan aset yang amat bernilai kepada BSMM Daerah Penampang.

“Tidak dinafikan modal insan yang berkepakaran tinggi dan mempunyai sikap profesionalisma yang cemerlang merupakan kunci utama kepada kejayaan sesuatu organisasi.

“BSMM daerah Penampang sentiasa mengiktiraf budaya kerja cemerlang, komitmen dan jasa yang diberi oleh semua ahli.

Jimmy ketika ditemui pemberita Jimmy ketika ditemui pemberita



“Teruskanlah semua kerja yang begitu baik dan cemerlang sampai bila-bila, segala kejayaan ini tidak seharusnya melekakan kita,” ujarnya.

Tambahnya, walaupun telah banyak kejayaan yang dicipta, tetapi ia tidak bermakna kita perlu berpeluk tubuh mengharapkan setiap kejayaan pada masa lalu akan berulang dengan sendirinya.

“Hakikatnya kita sedang menghadapi pelbagai cabaran baru yang menuntut supaya kita sentiasa meneroka dunia tanpa sempadan masa kini, melakukan inovasi dan berusaha untuk melangkaui sempadan kecemerlangan,” kata Celestina.

Majlis Malam Apresiasi tersebut turut diserikan dengan pelbagai persembahan daripada ahli-ahli VAD yang berbakat serta cabutan tiket bertuah.

Hadir sama, Pengerusi BSMM Sabah, Asnan Yunus Chung; Timbalan Pengerusi BSMM Penampang, Simon Chin; Komandan VAD 20, Francisca Lito Kung serta pegawai dan delegasi antarabangsa Palang Merah.

EM