Persatuan Dayak Labuan Impikan Rumah Kebudayaan Labuan

Laporan/ foto: Md Khairul Azad Yunus/ Jeffrey Nian

LABUAN, 14 Jan (Malaysiaaktif) - Persatuan Dayak Labuan berharap agar dibangunkan sebuah Rumah Kebudayaan bagi merancakkan penganjuran aktiviti kebudayaan di Labuan.

Menurut Pengerusinya Anna Jessi, Persatuan Dayak Labuan dan persatuan-persatuan lain boleh memanfaatkan kemudahan tersebut jika dapat direalisasikan satu masa nanti.

"Sehubungan dengan adanya aktiviti-aktiviti kebudayaan anjuran pelbagai persatuan kebudayaan alangkah baik dan menarik jika terdapat rumah kebudayaan di Labuan.

"Rumah kebudayaan bukan sahaja merancakkan lagi aktiviti kebudayaan, malah boleh menjadi salah satu produk pelancongan sekaligus menarik minat pelancong dari dalam mahupun luar negara untuk berkunjung ke Labuan," katanya.

Rozman (enam dari kanan), Anna (lima dari kiri) bergambar kenangan bersama tetamu kehormat selepas menyempurnakan gimil.perasmian Rozman (enam dari kanan), Anna (lima dari kiri) bergambar kenangan bersama tetamu kehormat selepas menyempurnakan gimik perasmian



Selain itu, Anna turut mencadangkan agar syarikat  penerbangan mengadakan penerbangan terus Labuan-Kuching.

"Jika melihat dari pelbagai sudut positif, ianya bukan sahaja dapat memudahkan perjalanan rakyat terutama anak sarawak, malah ianya boleh menarik minat pelancong yang berada di Borneo Timur untuk berkunjung ke Labuan.

"Mungkin boleh dimulakan dengan satu atau dua penerbangan pada musim perayaan bagi mengetahui menguji pasaran semasa," katanya semasa memberikan ucapan aluan pada Malam Apresiasi dan Makan Malam Sempena Tahun Baharu 2019 Bersama Anak Sarawak Anjuran Persatuan Dayak Labuan, malam semalam.

Anna mewakili Persatuan Dayak Labuan turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Penerangan Labuan atas sokongan kepada setiap program anjuran mereka.

"Saya rasa sangat terharu dan gembira kerana telah diberi kepercayaan oleh Jabatan Penerangan yang memberikan satu zon khas untuk anak Sarawak yang dahulunya dikenali sebagai Muafakaat Komuniti Malaysia”

"Menjadi satu kegembiraan bila kita dapat bekerjasama dengan penduduk Labuan dan menjayakan setiap program yang dianjurkan.

"Kami sangat berharap agar dapat bekerjasama semula dengan Jabatan Penerangan seperti sebelum ini," katanya lagi.

Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli yang merasmikan majlis itu memuji peranan yang dimainkan Persatuan Dayak Labuan yang sudah lama bertapak di Labuan.

"Persatuan Dayak Labuan adalah antara NGO yang banyak membantu dalam menjayakan pembangunan masyarakat di Labuan terutamanya dalam aspek perpaduan.

"Apabila banyak persatuan-persatuan yang mewakili entik-etnik di Borneo aktif mempersembahkan kebudayaan masing-masing ianya akan lebih mencerminkan Labuan sebagai Pearl Of Borneo.

"Amat penting untuk kita menunjukkan perpaduan Labuan di semua peringkat agar lebih dihormati oleh pimpinan kerajaan pusat supaya mereka lebih mendengar kemahuan kita di Labuan," katanya semasa merasmikan majlis itu.

Hadir sama Timbalan Pengarah UMSKAL, Prof. Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal, Ketua Polis Labuan, Supt. Mohd Farid Ahmad, Pengarah Jabatan Perancangan dan Kawalan Bangunan, Perbadanan Labuan, Ibrahim Tambi, Presiden Dewan Perniagaan Tionghua Labuan, Datuk Wong Kii Yii dan Pengerusi KDCA Labuan, Peter Pikul.

EM