Kerajaan Diseru Tidak Tunduk Biarkan Hasil Negara Diguna Untuk Kepentingan Peribadi - Tuanku Muhriz

KUALA PILAH, 14 Jan (Malaysiaaktif) - Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir menyeru kerajaan dan jentera pentadbiran agar tidak tunduk membiarkan hasil negara digunakan untuk kepentingan peribadi individu tertentu.

Baginda bertitah, jangan lagi membenarkan institusi pentadbiran negara terhalang daripada menjalankan tanggungjawab yang sepatutnya dan hilang upaya dalam mengawal segala manipulasi yang berlaku.

“Kita seharusnya bersyukur kerana diberi peluang untuk memperbaiki dan memperbetulkan semua kelemahan pentadbiran negara.

“Beta menyeru kepada semua sama ada pemimpin ataupun rakyat agar tidak melepaskan peluang yang ada ini untuk merencana masa hadapan negara agar menjadi lebih baik. Jadikan apa yang berlaku sebagai satu pengajaran kerana jika tidak, ia pasti akan berulang,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat sempena Hari Keputeraan ke-71 baginda di Istana Besar Seri Menanti di sini, hari ini.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud dan kedua-dua anakanda baginda Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al-'Abidin.

Dalam pada itu, Tuanku Muhriz bertitah kepimpinan Kerajaan Negeri hendaklah beramanah tinggi, bermaruah tinggi dan berpendirian tinggi.

“Dalam Bahasa Inggeris persons of honour, untuk menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan baik. Jalinlah kerjasama penuh harmoni dengan semua jentera pentadbiran Kerajaan dari peringkat Persekutuan sehinggalah ke peringkat akar umbi.

“Berikan contoh teladan yang baik kepada rakyat dengan saling bergandingan dalam melahirkan buah fikiran yang bermanfaat demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri yang berterusan.

Baginda meletakkan harapan yang tinggi agar kepimpinan kerajaan, jentera pentadbiran dan rakyat menguatkan iltizam serta tekad ke arah mengupayakan lagi peranan masing-masing agar lebih relevan dan mantap dari sudut kecekapan, ketelusan serta akauntabiliti dalam menghadapi segala cabaran.

Baginda bertitah, melalui pemerhatian baginda pada masa ini tahap hubungan sosial antara kaum amat rendah jika dibandingkan dengan era 30 atau 40 tahun dahulu.

Titah baginda ia dapat dilihat dengan jelas terutama dalam kelab-kelab sosial atau pertubuhan-pertubuhan badan bukan kerajaan tertentu di mana hanya sesuatu kaum mendominasi keahlian dan jawatankuasa sesebuah persatuan.

“Dalam sesebuah negara majmuk seperti Malaysia, hubungan sosial antara kaum adalah amat penting. Ia akan membangkitkan semangat memahami dan menghormati amalan agama dan budaya masing-masing.

“Semangat setia kawan antara kaum hendaklah dipupuk awal kepada generasi muda. Ia boleh disemai melalui aktiviti sukan fizikal dan permainan yang berasaskan intelek seperti catur dan e-sports, serta aktiviti ko-kurikulum seperti Persatuan Pengakap, Pandu Puteri, Bulan Sabit Merah dan lain-lain,” titah baginda.

Tuanku Muhriz turut bertitah Kerajaan Negeri perlu mempertingkatkan penyediaan prasarana dan kemudahan serba moden untuk kesempurnaan dan kesejahteraan rakyat.

“Usaha juga harus diperhebat, khususnya bagi menggalakkan pelaburan yang berterusan dari dalam dan luar negara. Aspek ini penting dalam merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri yang menyasarkan pelaburan industri berteknologi tinggi untuk mewujudkan peluang kerjaya kepada anak tempatan di negeri ini,” titah baginda.

Sempena ulang tahun ke-71 keputeraan baginda, seramai 340 orang menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Negeri Sembilan. - BERNAMA