AIM Lahir Usahawan B40

Laporan/foto: Nurazreen Abd Rahman/Ariza M. Zaki(Seberang Perai Utara)

KEPALA BATAS, 14 Jan (Malaysiaaktif) - Peniaga B40 di kawasan luar bandar memerlukan bantuan peralatan dan modal untuk memastikan perniagaan mereka mampu berkembang dan memberikan pulangan pendapatan. Salah satu sumber bantuan kewangan yang popular di luar bandar adalah melalui Amanah Iktihiar Malaysia(AIM). AIM menawarkan skim pembiayaan kredit mikro kepada golongan B40 untuk mengusahakan sebarang kegiatan ekonomi berasaskan kemahiran yang dimiliki sebagai usaha menambah pendapatan keluarga.


Bilangan cawangan AIM diseluruh negara adalah sebanyak 134 cawangan dengan bilangan ahlinya atau dikenali sebagai sahabat adalah sebanyak 379,824 orang setakat maklumat terakhir pada Jun 2018. Berdasarkan pada maklumat semasa tahun 2018 jumlah pengeluaran untuk pembiayaan adalah sebanyak RM20, 228,101,521 dengan peratusan bayaran balik sebanyak 98.26%. AIM menyasarkan akan berusaha menambah kepada 400,000 sahabat pada tahun 2019 dalam usaha menggalakkan orang ramai khususnya golongan miskin menceburi bidang keusahawanan.




Ahli Sahabat membaca Ikrar sebelum mesyuarat dimulakan Ahli Sahabat membaca Ikrar sebelum mesyuarat dimulakan


Fazilah Bt Khalid, 40 tahun ahli sahabat AIM memaklumkan hampir 8 tahun beliau  berkecimpung dalam perniagaan makanan Nasi Kukus Ayam Berempah dan Air Kelapa. Melalui skim  AIM ini  perniagaan beliau dapat diteruskan walaupun sukar mendapat pinjaman kewangan daripada  bank komersial. Pembayaran pinjaman AIM, dibayar setiap minggu dengan kadar yang berpatutan berdasarkan jumlah pinjaman yang dipohon.




Puan Salmah Pengusaha Baju Wanita Puan Salmah Pengusaha Baju Wanita


Ketua Pusat Mawar Putih AIM, Puan Salmah  Othman, 46 memberitahu "Kawasan DUN Pinang Tunggal sahaja terdapat 5 pusat AIM yang aktif membantu usahawan-usahawan bumiputera terutama wanita, agar dapat memperluaskan perniagaan mereka. Beliau yang mengusahakan pakaian baju wanita bercadang akan menyewa rumah kedai di Pusat Komersial Tasek Gelugor dalam masa yang terdekat kerana permintaan yang semakin meningkat.


Selain itu, AIM juga ada mempunyai perkhidmatan  Simpanan Tetap  kepada Sahabat di mana  peminjam  sahabat perlu menyimpan  Simpanan Tetap mengikut jumlah pembiayaan ekonomi minimum RM1 hingga maksimum RM15.


Tabung Kebajikan & Kesejahteraan Sahabat (TKKS) turut diwujudkan sebagai salah satu inisiatif dan meningkatkan tahap kebajikan kepada sahabat. Antara skim dan manfaat yang diperkenalkan ialah Khiarat Kematian bagi ahli, pasangan dan anak, insurans kemasukan ke wad, kemusnahan tempat tinggal, bencana, kemusnahan projek, sumbangan menunaikan ibadat Haji serta sumbangan anak melanjutkan pelajaran ke IPTA atau IPTS.


Kaedah pembayaran balik kredit mikro menerusi kad debit yang diperkenalkan oleh AIM melalui kempen Kad Mydebit Tanpa Sentuh (CMCCS), akan memudahkan peminjam AIM melakukan pembayaran semula menerusi kad debit yang dimiliki mereka. Setakat ini 150,000 peminjam AIM telah menggunakan sistem CMCCS ini.