Perintah Penetapan Sekuriti Berkuat Kuasa Hari Ini

 

PUTRAJAYA, 15 Jan (Malaysiaaktif) - Perintah Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Penetapan Sekuriti) (Mata Wang Digital dan Token Digital) 2019 mula berkuat kuasa hari ini.

Berikutan ini, mata wang digital dan token digital seperti yang dinyatakan di dalam peraturan ini (secara kolektif dikenali sebagai “aset digital”) adalah ditetapkan sebagai sekuriti dan akan dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Menteri Kewangan Lim Guan Eng, menerusi satu kenyataan media menyatakan penawaran instrumen-instrumen tersebut, berserta aktiviti yang berkaitan dengannya, akan memerlukan kebenaran dari SC dan perlu mematuhi undang-undang sekuriti dan peraturan-peraturan yang berkenaan.

“Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) berpandangan bahawa aset digital, berserta teknologi blok rantai yang menjadi asas baginya, berpotensi untuk memperkenalkan inovasi di dalam industri lama dan baharu.

“Secara khususnya, kami percaya bahawa aset digital mempunyai peranan untuk menjadi suatu kaedah alternatif untuk mendapatkan dana oleh para usahawan dan perniagaan-perniagaan yang baharu, serta sebagai kelas aset alternatif untuk para pelabur,” katanya semalam.

Menurut Guan Eng lagi, SC akan menetapkan syarat-syarat yang berkenaan untuk menjalankan tawaran syiling permulaan (initial coin offerings, atau ICO) dan perdagangan aset digital dan pasaran aset digital di Malaysia. Rangka kerja ini dijangka akan dilancarkan sebelum penghujung suku pertama 2019.

“Mana-mana orang yang menjalani aktiviti ICO atau mengendalikan pasaran aset digital di Malaysia tanpa kelulusan SC boleh dihukum, apabila disabit, dengan penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak melebihi RM10 juta,” tambahnya.
-SH