[KEMAS KINI] Sambutan Perayaan Ponggal

Laporan/foto : Ramasamy Amas

JEMPOL , 15 Jan (Malaysiaaktif ) - Selain perayaan Deepavali dan Thaipusam, perayaan Ponggal juga tidak asing bagi masyarakat India. Hari ini seluruh masyarakat India tanpa mengira agama merayakan perayaan tersebut.

Ponggal merupakan perayaan menuai yang akan disambut selama tiga hari berturut-turut pada pertengahan bulan Januari (dalam bulan Thai mengikut kalendar Kaum India).

Ponggal merupakan sejenis masakan. Ia merupakan nasi manis yang dimasak mengunakan susu, pelaga, gula perang, gajus, kismis dan minyak sapi.

Pada perayaan ini nasi yang dimasak akan dipersembahkan kepada Dewa Matahari dan seterusnya dimakan bersama-sama ahli keluarga dan sanak saudara.

Menurut Sami Kuil Sri Maha Muthu Marimman Bahau Ramani Kurukal, perayaan Ponggal tidak semestinya berpaksi kepada agama. Ponggal menjadi amalan kebudayaan turun-temurun yang disambut bagi mengalu-alukan musim menuai di Tamil Nadu India.

"Sambutan ini bagi menghargai usaha keras para petani dan haiwan domestik seperti lembu dan kerbau serta alam semulajadi yang menjadi asas kepada keperluan utama manusia iaitu makanan," katanya yang ditemui, di sini siang tadi.

Ramani turut menjelaskan bulan Thai adalah bulan yang sangat sesuai untuk bertemu jodoh dan mengadakan majlis perkahwinan.

"Hari pertama perayaan ponggal dikenali sebagai bhogi iaitu amalan membakar barang lama, lusuh dan menggantikan dengan yang baharu. Ia juga simbolik pada permualaan bulan mulia Thai dengan membuang segala yang negatif di dalam diri kita dan mengambil perkara-perkara positif.

"Manakala hari kedua pula disebut Thai Ponggal yang mana dikhaskan untuk Dewa Matahari.

"Ahli keluarga akan berkumpul sebelum matahari terbit untuk memasak susu menggunakan periuk belanga  yang diperbuat daripada tanah dan apabila susu yang mendidih mengalir keluar daripada periuk, mereka sekeluarga akan melaungkan “Ponggal Lo Ponggal” sebanyak tiga kali," jelasnya.

Selain itu, hari kedua juga disambut sebagai “Mattu Ponggal yang dikhususkan kepada haiwan ternakan lembu yang telah banyak berjasa kepada petani sebagai tanda terima kasih (penternak lembu sahaja).

"Mereka yang meraikannya akan memasak nasi manis dan dihidangkan kepada lembu yang telah dimandikan dan tanduknya dihiasi dengan cat berwarna-warni.

"Manakala hari terakhir dikenali sebagai “Kaanum Ponggal” iaitu hari yang istimewa kepada wanita yang belum berkahwin dan juga hari bertemu jodoh dengan menjemput sanak saudara dan kenalan rapat," tambahnya lagi.

Sementara itu, Khukaneswary, 54, dari Taman Desa Puteri yang turut mengadakan sambutan perayaan ponggal berkata, perayaan Ponggal ini akan memberikan limpahan rezeki dan berharap akan membawa kepada kestabilan ekonomi.

Puan Khukaneswary bersama keluarga semasa perayaan Ponggal. Puan Khukaneswary bersama keluarga semasa perayaan Ponggal.


-KN/SH