SKMM Pantau Kandungan Dan Maklumat Terhadap Institusi Raja Dalam Media Sosial

PUTRAJAYA, 17 Jan (Malaysiaaktif) – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memantau kandungan dan maklumat yang disebarkan dalam media sosial terhadap institusi raja di negara ini khususnya menjelang pemilihan dan pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-16, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Gobind Singh Deo.

Beliau berkata SKMM akan memantau komen dan kritikan dalam media sosial terhadap institusi raja.

“Kita mempunyai sistem pemantauan dalam SKMM. Apabila laporan dibuat, maka siasatan akan dijalankan. Kertas siasatan akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara dan keputusan akan dibuat nanti.

“Saya berpendirian agar semua pengguna (media sosial) perlu berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Menteri di Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas berhubung komen-komen terhadap institusi raja dalam media sosial khususnya menjelang pemilihan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada 24 Jan serta acara mengangkat sumpah kedua-dua jawatan itu pada 31 Jan ini.

Gobind berkata, KKMM memandang serius mengenai penularan berita palsu atau berunsur fitnah melalui media sosial yang semakin menjadi-jadi yang akan menyemai kebencian dan menyemarakkan keresahan dalam kalangan masyarakat.

“Pengamal sosial media perlu bertanggungjawab dan menjadi pengguna yang bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, Gobind berkata KKMM telah memulakan tindakan mengkaji semula beberapa akta di bawah kementerian termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

Sambil memberi contoh, beliau berkata kementerian akan meminda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dengan mengenakan penalti yang tinggi kepada pemegang lesen yang tidak mematuhi arahan yang dikeluarkan SKMM.

“Tindakan yang lebih tegas ini menunjukkan kementerian serius dalam membangun dan memperkukuh sistem infrastruktur agar mereka (pemegang lesen) tidak melanggar sebarang arahan dan undang-undang.

“Saya berharap kita dapat lakukan (pindaan) pada sesi akan datang iaitu pada Mac tahun ini, namun ia terpulang sama ada kita mempunyai masa atau tidak kerana banyak lagi rang undang-undang yang akan dikemukakan pada sesi kali ini,” katanya.

Berhubung pindaan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998, Gobind berkata perkara itu masih dalam perbincangan.

“Saya telah pun mengadakan perjumpaan dengan pihak berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mendapatkan pendapat dari mereka. Saya berharap kita dapat melaksanakan pada bulan Mac juga,” katanya.

Seksyen 233 akta itu adalah berkenaan penyalahgunaan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian. - BERNAMA/foto:KKMM