SKMM Cari Penyelesaian Isu Telekomunikasi Perkampungan Orang Asli

LIPIS, 18 Jan (Malaysiaaktif) - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sedang giat berusaha meningkatkan perkhidmatan telekomunikasi dan jalur lebar di kawasan pedalaman termasuk di kawasan penempatan Orang Asli.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata pihaknya sedia maklum aduan daripada kalangan Tok Batin di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai yang berada dalam kawasan Parlimen Cameron Highlands berhubung perkhidmatan telekomunikasi di kawasan itu.

“Ini adalah antara usaha diambil oleh SKMM untuk kita pertingkatkan perkhidmatan jalur lebar dan juga infrastruktur di seluruh Malaysia.

“Sebaik sahaja pengaduan dibuat kepada agensi, bukan kepada saya, agensi mestilah mengambil apa-apa tindakan yang perlu,” katanya.

Terdahulu, Gobind yang juga Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan bersama calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands M. Manogaran melakukan tinjauan mesra bertemu penduduk di pasar tani Kuala Medang, Sungai Koyan.

Jelas beliau, beliau tidak dimaklumkan perkara itu secara langsung dalam pertemuan bersama Tok Batin di Pos Betau dan menyerahkan agensi terlibat untuk melaksanakan tanggungjawab itu.

“Saya dimaklumkan terdapat aduan dan tidak dimaklumkan ada pertemuan di Pos Betau tetapi biarlah agensi melakukan apa yang patut dilakukan. Saya tidak terlibat dalam hal ini.

“Bila ada aduan memang SKMM akan turun ke situ dan laksanakan apa yang mereka boleh selesaikan. Ini antara SKMM dan Tok Batin,” katanya.

PRK Cameron Highlands pada 26 Jan ini menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Manogaran, calon Barisan Nasional (BN) Ramli Mohd Nor serta dua calon Bebas Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee. - BERNAMA