Jabatan Bomba & Penyelamat Negeri Kelantan Tubuh Pasukan Bomba Sukarela Marin Pertama Di Malaysia

Laporan/foto :Nur Shafira Bt Mat Hussin(Pasir Puteh)

PASIR PUTEH, 20 Jan (Malaysiaaktif) – Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia Negeri Kelantan menjadi negeri pertama di negara ini yang menubuhkan Pasukan Bomba Sukarela Marin (PBSMarin). PBS Marin ini ditubuhkan untuk membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam usaha untuk menangani kes kemalangan di air dan tugasan mencari serta menyelamat mangsa-mangsa supaya dapat dilaksanakan dengan cekap.

PBS Marin telah diwujudkan di empat daerah di Kelantan iaitu daerah Pasir Puteh, Kota Bharu, Bachok dan Tumpat. Antara objektif penubuhan PBS Marin ini adalah bagi menggalakkan penduduk setempat yang terdiri daripada golongan nelayan tempatan agar dapat membantu pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bertindak apabila berlaku kecemasan atau kemalangan  air di kawasan mereka.

Hari ini telah berlangsung Majlis Perasmian Pelancaran Pasukan Bomba Sukarela Marin Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia di Balai Bomba Sukarela Marin, Tok Bali Pasir Puteh dekat sini. Perasmian disempurnakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Puan Zuraida Kamaruddin. Majlis dimulakan seawal jam 9.30 pagi dengan menyaksikan perbarisan kawalan kehormat, persembahan Kelab 3K dan pertunjukan kebombaan.

4C0C9318-DE99-4A2E-83BB-FC4041E98961

Dalam pada itu, Zuraida dalam ucapan nya ketika merasmikan majlis mengucapkan tahniah kepada Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Negeri Kelantan kerana menjadi negeri pertama yang menubuhkan PBS Marin ini.

" Saya berharap agar masyarakat menghormati dan memberikan kerjasama yang baik kepada anggota beruniform ketika mereka menjalankan tugas. Mereka mengorbankan masa dan tenaga untuk menjaga keselamatan negara, nyawa dan harta benda rakyat dalam apa-apa situasi sekalipun"

"Selain daripada itu, KPKT menerusi Dasar  Komuniti Negara juga akan dikuatkuasakan untuk menangani masalah komuniti setempat seperti kawasan perumahan. Hubungan yang baik dan kerjasama erat perlu ada dalam kalangan masyarakat dalam usaha menjayakan dasar tersebut yang pastinya memberi kebaikan kepada komuniti setempat" ujar beliau lagi.

Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut adalah, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia, Datuk Amer Yusof dan Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Negeri Kelantan, Nazili Mahmood.

- NAZ