Manjung Berpotensi Tinggi Tarik Pelaburan

 
 Pelapor/foto : Andi Abdul Rohim (Manjung)

SERI MANJUNG, 2 Feb (Malaysiaaktif) - Faktor semulajadi yang indah dan lokasi strategik di pesisir pantai menjadikan Manjung sebagai daerah yang berpotensi tinggi dalam menarik pelaburan sektor pelancongan dan perindustrian di negeri Perak.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata pertumbuhan pelbagai sektor seperti pusat membeli belah, hotel, hospital swasta, dan institusi pendidikan telah mewujudkan kemudahan dan peluang pekerjaan kepada hampir 260,000 penduduk di kawasan ini.

"Antaranya kewujudan janakuasa elektrik terbesar Tenaga Nasional Berhad (TNB) Janamanjung, Kawasan Perindustrian Pelabuhan Lumut, terminal minyak Petronas, syarikat pengeluar biji timah terbesar dunia, projek pertanian Terminal Makanan Kekal Negara dan Bandar Angkatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Manjung adalah pemangkin kepada kepesatan pembangunan daerah," katanya ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra Bersama Penjawat Awam, di sini semalam.

Sebahagian daripada penjawat awam yang hadir pada majlis tersebut. Sebahagian daripada penjawat awam yang hadir pada majlis tersebut.



Pembangunan di daerah akan lebih giat selepas Pulau Pangkor berjaya mendapat status bebas cukai.

"Kita berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan atas komitmen untuk menimbangkan cadangan berkenaan seperti yang diumumkan dalam belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan pada Oktober lalu.

"Ini akan melonjakkan lagi pembangunan ekonomi daerah Manjung,” katanya lagi.

Jelas Ahmad Faizal lagi, aktiviti ekonomi yang rancak adalah pemacu kepada urbanisasi yang akan membawa kepada limpahan kemakmuran daerah Manjung dan negeri Perak secara amnya.

"Proses urbanisasi ini juga akan berlaku peningkatan permintaan terhadap pelbagai perkhidmatan awam daripada orang ramai dan juga pihak swasta.

"Ia sekaligus meningkatkan kutipan hasil kerajaan seterusnya disalurkan kembali melalui program-program yang membela rakyat dan pembangunan infrastruktur setempat," tambahnya.

Justeru, beliau mengharapkan semua pihak sentiasa memberi kerjasama sepenuhnya dalam usaha menjadikan Perak sebagai pilihan utama dalam kalangan pelabur.

Majlis yang diadakan di Dewan Perumahan Penjawat Awam (PPA) Amanjaya itu dihadiri lebih 300 orang penjawat awam daripada pelbagai agensi.
-SH