THM Raih Lebih RM200 Juta

 

PUTTRAJAYA, 7 Feb (Malaysiaaktif) - Sejak dilancarkan penghujung Mei tahun lalu, Tabung Harapan Malaysia (THM) berjaya meraih sebanyak RM202,716,775.10 setakat 14 Januari lalu hasil sumbangan orang ramai.

Menurut Menteri Kewangan Lim Guan Eng, sumbangan yang dibuat selepas tempoh tersebut tidak akan dikreditkan ke dalam akaun dan dipulangkan semula kepada penyumbang.

“Pihak kementerian dalam tindakan untuk membuat pelarasan penutupan akaun tersebut sebelum pengauditan dijalankan oleh Jabatan Audit Negara, dan jumlah sumbangan ini akan digunakan untuk pembayaran hutang Kerajaan Persekutuan,” katanya menerusi satu kenyataan media, di sini hari ini.

Guan Eng menjelaskan bagi memastikan pengurusan THM dibuat secara teratur dan berintegriti, satu Jawatankuasa Akaun yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir, telah ditubuhkan.

“Jawatankuasa ini akan memutuskan penggunaan wang THM mengikut tatacara yang termaktub di dalam Arahan Amanah Akaun THM (Trust Deed),” tambahnya.