Karya Seni Bumi Kenyalang Serlahkan Keungulan

Laporan/Foto: Robin Junang

KUCHING, 12 Feb  (Malaysiaaktif) - Program Hari Terbuka Majlis Seni Sarawak telah diadakan di Dewan Undangan Negeri Lama pada 11 sehingga 17 Februari 2019 bermula dari pukul 8.00 pagi sehingga 5.00 petang.

Pameran ini adalah untuk mengetengahkan  karya seni dan produk budaya  setiap suku kaum yang terdapat di Sarawak. Program selama tujuh hari ini merupakan satu inisiatif Majlis Seni Sarawak sempena Tahun Melawat Sarawak dan juga untuk mempromosi karya dan produk suku kaum. 

Antara pempamer yang terlibat adalah Sarawak Craft Councill, Persatuan Melanau Kuching, Dayak Bidayuh National Association, Amanat Khairah Budaya Melayu Sarawak, Dayak Cultural Foundation, Federation of Chinese Associations Kuching, Samarahan & Serian, Federation of Orang Ulu Association Sarawak, Songket Sarawak, Pasar Seni dan Majlis Seni Sarawak. 

Demo muzik untuk tarian tradisional dari suku kaum Melanau Mukah Demo muzik untuk tarian tradisional dari suku kaum Melanau Mukah



Program Hari Terbuka Majlis Seni Sarawak bertemakan Ruai Sarawak Berkarya adalah untuk menghimpunkan karya-karya dan produk-produk seni budaya seperti kratfangan, sulaman, alat muzik, buku budaya, bahasa sukuan, makanan tradisi dan busana suku kaum.  Bersempena dengan hari terbuka ini pelbagai aktiviti termasuk demo mengamyam, menyulam, membuat alat muzik, tarian tradisional dari suku kaum Melanau, Melayu, Iban, Orang Ulu, Bidayuh, India dan Cina. 

Selain tarian, peragaan busana setiap suku kaum juga turut diadakan pada 12 Februari 2019. Setiap kaum telah mempamerkan kehebatan karya busana tradisional masing-masing. Ada juga peraga yang mempamerkan songket Sarawak dan kain pua Iban  Kebanyakan peragaan busana tradisional lengkap dengan aksesori sehingga menyerlahkan ketampanan dan kejelitaan pemakainya.

Umar Tomik salah seorang pembuat gendang Melayu tersohor di Kuching turut membuat demo membuat gendang Melayu di gerai Sarawak Craft Council. Beliau telah membuat gendang semenjak 40 tahun yang lalu.

“Membuat gendang ini merupakan satu warisan yang diturunkan daripada nenek moyang saya semenjak kecil lagi,” katanya.

Diana Muring, dari suku kaum Lun Bawang mempamerkan cara menyulam manik Diana Muring, dari suku kaum Lun Bawang mempamerkan cara menyulam manik



Bagi Diana Muring, keturunan Lun Bawang dari Kampung Trusan Lawas,  beliau gemar membuat sulaman kotemporari dari setiap suku kaum terutama Iban, Kayan dan Lun Bawang.

“Saya suka membuat sulaman daripada manik-manik moden di samping manik-manik buatan sendiri atau manik kaca. Setiap sulaman itu mempunyai motif dan maksud tersendri,” ujarnya yang menceburi bidang ini sejak 14 tahun yang lalu.

Bagi Salman Tuna, Melanau dari Mukah yang telah dibawa khas untuk menjelaskan peranan dan jenis busana, peralatan Rukun Kahwin Adet Melanau Tellian di samping menjelaskan maksud setiap tarian suku kaum Melanau.

“Saya amat bergembira kerana diberi peluang untuk menunjukkan karya seni Melanau di khalayak khususnya di bandar besar seperti Kuching,” tambah beliau.

Peragaan busana daripada kaum Orang Ulu (Kayan) Peragaan busana daripada kaum Orang Ulu (Kayan)



Gerai-gerai bukan sahaja untuk pameran malah terdapat juga produk atau karya yang dijual seperti buku, sulaman manik, busana, makanan tradisional dan peralatan muzik.

Produk daripada sulaman manik dan busana mendapat permintaan daripada pengunjung. Pihak penganjur mengharap lebih ramai lagi pengunjung hadir untuk menyaksikan karya dan produk setiap suku kaum di Sarawak. 

Program yang pertama kali diadakan oleh Majlis Seni Sarawak di DUN Lama ini mendapat sambutan yang agak baik sekalipun lokasinya agak jauh dari pusat bandar.

Dengan adanya promosi melalui beberapa medium seperti media sosial dan radio telah membantu menarik pengunjung untuk datang ke lokasi ini.