Tuhau – Produk Hiliran Yang Mendapat Tempat Di hati Pelancong

Laporan/foto: Fauzrina Bulka/Azman Jumat (Kota Kinabalu)

RANAU, 18 Feb (Malaysiaaktif) - Jika anda peminat bunga kantan, pasti anda akan suka aroma tuhau, keduanya termasuk dalam keluarga seperti lengkuas dan halia, mempunyai fizikal yang sama, berdaun lebar dan panjang.

Ahli WANIRA bekerjasama untuk menyiapkan tuhau sebelum digoreng. Ahli WANIRA bekerjasama untuk menyiapkan tuhau sebelum digoreng.



Seperti pokok kantan, tuhau biasanya banyak tumbuh di kawasan yang lembap dan redup, ia boleh dilihat subur di kawasan yang terlindung, tepi sungai dan tanah rendah.

Tuhau juga mudah dan banyak boleh ditemui di kawasan pedalaman Sabah terutamanya di daerah Keningau, Tambunan,Tenom, Ranau dan juga Nabawan.

Dikenali sebagai makanan tradisi suku Kadazan-Dusun, tuhau yang muda sebenarnya boleh disediakan pelbagai cara, selain ditumis bersama cili putih dan ikan bilis dan dimakan bersama nasi, ia juga boleh dijadikan jeruk, serunding ataupun sambal.

Keadaan tuhau yang siap dihiris halus. Keadaan tuhau yang siap dihiris halus.



Kalau mahukan tuhau yang muda dan lembut, ambil anak pokok tuhau yang masih kecil, dan elakkan cabut pokok yang sudah agak tinggi kerana batang dan umbutnya yang keras bermaksud pokoknya sudah tua dan tidak boleh dimakan.

Jika berkunjung ke Sabah, tuhau kini merupakan antara produk makanan hiliran yang dicari untuk dijadikan buah tangan.

Ia semakin mendapat tempat di hati pelancong dalam dan luar negara, sehingga ramai pengusaha yang bersaing untuk mengeluarkan produk sendiri demi memenuhi permintaan yang tinggi.

Tuhau dicuci bersih sebelum digoreng. Tuhau dicuci bersih sebelum digoreng.



Menemui pengerusi Persatuan Persatuan Pengusaha Tani Randagong Lama Ranau (WANIRA), Jamilah Lawa, sememangnya kagum dengan semangatnya yang cuba untuk membantu meningkatkan taraf hidup wanita-wanita di mukim tersebut.

“Sebelum ini, kami para wanita di sini yang juga merupakan pekebun hanya berjualan hasil tanaman buahan yang kami tanam sendiri.

Buahan yang kami tanam seperti langsat, durian dan manggis kami jual di gerai yang kami dirikan di tepi laluan utama.

Tuhau yang dicuci bersih digoreng ke dalam minyak yang panas. Tuhau yang dicuci bersih digoreng ke dalam minyak yang panas.



“Kemudian, kami cuba pelbagaikan produk dengan mula usahakan tuhau pula kerana kebetulan di sini juga mudah untuk mendapat bekalan mentah, tetapi kami hanya buat dalam kuantiti yang kecil kerana tidak pasti jika produk kami dapat diterima oleh pembeli.

“Tetapi, selepas mendapat maklum balas yang baik daripada pembeli, kami mula buat dalam kuantiti yang besar, dan sepakat untuk menubuhkan persatuan WANIRA yang dianggotai oleh 12 orang wanita di kampung ini,” jelasnya.

Tuhau sedang digoreng selama 20 minit hingga garing. Tuhau sedang digoreng selama 20 minit hingga garing.



Tambah Jamilah, sejak penubuhan WANIRA, mereka giat mengikuti kursus-kursus yang dianjurkan oleh Jabatan Pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang Sabah dan mula berjualan di luar daerah Ranau seperti di karnival atas jemputan agensi-agensi berkenaan.

Sambutan memberangsangkan yang diterima daripada pembeli menjadi cabaran buat mereka untuk sentiasa mengekalkan prestasi dan kualiti produk dengan mengekalkan disiplin ketika berada di dapur.

Sesudah tuhau garing, tuhau di tos untuk memastikan tiada minyak supaya tahan lama. Sesudah tuhau garing, tuhau di tos untuk memastikan tiada minyak supaya tahan lama.



“Selama ini, jika kami masuk ke bengkel, memang kami amat menitikberatkan disiplin dan kebersihan, seperti mewajibkan ahli-ahli untuk menggunakan sarung tangan, apron dan tidak mengenakan barang kemas.

“Kami juga tidak menggunakan bahan pengawet, manakala sambal tuhau yang kami sediakan akan dimasak dalam tempoh lima hingga enam jam hingga air betul-betul kering supaya sambal tahan lama.

Tuhau yang sudah sejuk di campur dengan bahan asas seperti lada putih, bawang goreng dan ikan bilis. Tuhau yang sudah sejuk di campur dengan bahan asas seperti lada putih, bawang goreng dan ikan bilis.



“Untuk membuat jeruk pula kami tumbuk menggunakan lesung batu berbanding di kisar menggunakan mesin untuk mengekalkan aroma tuhau itu sendiri,” ujarnya.

Mujur juga selepas beberapa ketika, permohonan mereka untuk memiliki mesin penggoreng diluluskan oleh Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) yang sangat banyak membantu dalam proses pembuatan sambal tuhau.

Tuhau sedia dimasukkan ke dalam balang. Tuhau sedia dimasukkan ke dalam balang.



Malahan, pihak DIDR turut membekalkan mesin pengadun dan menipiskan tepung yang digunakan untuk membuat keropok dan juga penggiling lada untuk kegunaan mereka.

“Walaupun proses membuat sambal tuhau masih kekal hingga enam jam, tetapi kuantiti sambal lebih banyak dapat dihasilkan dengan bantuan mesin tersebut.

Proses melabel tuhau sebelum dijual kepada pembeli. Proses melabel tuhau sebelum dijual kepada pembeli.



“Sambal yang kami buat dapat bertahan hingga sebulan, manakala jeruk pula boleh bertahan selama enam bulan melainkan serunding, yang hanya akan bertahan lama jika anda menutupnya dengan ketat dan pastikan tidak dimasuki angin untuk mengelakkannya ‘alanut’ atau tidak rangup,” kongsinya.

Tambah Jamilah, persatuan mereka akan hanya memproses barangan jualan setiap Selasa hingga Jumaat kerana bekalan tuhau yang di tempah dari Nabawan akan dihantar setiap hari Isnin.

Tuhau yang siap digoreng dan dilabel akan dipasarkan digerai mereka. Tuhau yang siap digoreng dan dilabel akan dipasarkan digerai mereka.



“Setiap minggu pembekal akan menghantar kira-kira 350 plastik tuhau kerana stok yang ada di kampung ini sudah tidak mencukupi dan untuk bekalan tersebut kami akan dapat menghasilkan lebih 100 balang produk sambal, serunding dan juga jeruk.

“Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah (MID) juga membantu kami untuk pelabelan produk untuk memudahkan kami memasarkannya ke luar daerah.

Jamilah (kanan) bersama Ahli WANIRA yang bangga dengan hasil mereka. Jamilah (kanan) bersama Ahli WANIRA yang bangga dengan hasil mereka.



“Namun begitu, segala proses memasak perlu diselesaikan sebelum malam kerana bengkel kami belum mendapat bekalan elektrik, sebab itu jugalah kami sedang dalam proses menyimpan dana untuk memohon penyambungan tersebut,” kata Jamilah.

Katanya, setiap balang yang berjaya dihasilkan akan dibahagi sama rata kepada setiap ahli dan mereka akan mendapat keuntungan masing-masing hasil jualan tersebut.

Antara produk WANIRA yang dipasarkan di gerai milik Maliah (kiri) Antara produk WANIRA yang dipasarkan di gerai milik Maliah (kiri)



Menurutnya juga, mereka bertuah telah diberi kebenaran oleh ketua kampung untuk menggunakan bengkel tersebut yang dahulunya sebenarnya hanyalah tempat menyimpan enjin pagi kegunaan masyarakat kampung.

“Apabila sudah tidak digunakan, ketua kampung memberi kebenaran untuk menggunakan bengkel ini.

"Dengan dana yang kami kumpul seramai 12 orang, kami bersihkan dan cat sendiri bengkel ini serta memasang jubin lantai.

Jamilah bangga menunjukkan cenderahati yang diperoleh selepas melakukan demonstrasi memasak tuhau. Jamilah bangga menunjukkan cenderahati yang diperoleh selepas melakukan demonstrasi memasak tuhau.



“Bermula tahun ini juga buat pertama kalinya kami mula dijemput oleh pihak Taman-Taman Sabah untuk melakukan demonstrasi memasak serunding tuhau di Kampung Sokit, Bundu Tuhan.

“Untuk tahun lepas sahaja, kami berjaya memperoleh keuntungan kasar sebanyak RM70 ribu setahun hasil jualan produk kami serta mendapat sambutan hingga ke Semenanjung, Sarawak dan Labuan,” katanya.

Sesuai dengan pengalaman dan pemerhatian beberapa tahun dalam penjualan produk, beberapa penaiktarafan turut dilakukan seperti penggunaan balang yang lebih baik dan kedap udara berbanding sebelum ini yang hanya menggunakan plastik.

Jamilah turut berharap agar para wanita supaya rajin berusaha kerana banyak sumber yang ada di bumi boleh dipelbagaikan dan diproses untuk dijadikan sebagai pendapatan berbanding jika tiada melakukan sebarang pekerjaan kerana dengan hasil jualan produk sebenarnya boleh bantu menambah pendapatan keluarga.
EM