‘I SIHAT’ Bersama Pemimpin dan Rakyat

Laporan/ foto: Mohd. Fauzi Mohd Yusoff (Tampin)

TAMPIN, 23 Feb (Malaysiaaktif) - Pejabat Penerangan Tampin dengan kerjasama Pusat Internet Taman Desa Permai Repah dan Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN) telah menganjurkan Program Santai Minda: I Sihat yang dirasmikan oleh EXCO Kerajaan Negeri Sembilan merangkap ADUN Repah, Tuan Veerapan Superamaniam, tengah hari tadi di Pusat Internet Desa Permai Repah.

Dalam ucapan perasmianya, beliau menjelaskan kepentingan masyarakat menjaga kesihatan dalam kehidupan seharian serta menjelaskan peranan kerajaan dalam aspek kesihatan kepada rakyat. Beliau juga mengulas mengenai isu yang berlaku di hospital swasta di Seremban baru-baru ini di mana hospital tersebut tidak lagi dibenarkan beroperasi.

Pemeriksaan kesihatan secara percuma dari pihak KOSPEN. Pemeriksaan kesihatan secara percuma dari pihak KOSPEN.



“Pihak kerajaan memandang serius apabila hospital yang terlibat telah melanggar Prosedur Pengendalian Standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia yang boleh mendatangkan kesan buruk kepada pesakit yang menerima rawatan. Oleh itu, dengan rasa prihatin dan tanggungjawab kerajaan turut memastikan pesakit yang pernah mendapat rawatan di hospital tersebut dapat meneruskan rawatan lanjutan di hospital kerajaan dan swasta sekitar Negeri Sembilan,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan perasmian.

Selain itu, beliau turut menyatakan peranan Jabatan Penerangan Malaysia khusunya di Negeri Sembilan ialah menyampaikan dasar kerajaan dan maklumat berkaitan kerajaan kepada rakyat sehingga peringkat akar umbi melalui pelbagai bentuk program. Beliau juga berharap Jabatan Penerangan Malaysia terus menjadi sumber utama dalam wadah penyampaian maklumat dan dasar kerajaan yang sahih.

Penyerahan sijil lantikan Rakan Strategik. Penyerahan sijil lantikan Rakan Strategik.



Antara pengisian program ialah pemeriksaan kesihatan secara percuma, ceramah pemakanan sihat, pertandingan mewarna kanak-kanak, taklimat advokasi parental control dan edaran risalah dasar kerajaan kepada para pengunjung dan masyarakat setempat.

Sementara itu, Penolong Pengarah Cawangan Gerak Saraf dan Pengurusan Isu yang mewakili Pengarah Penerangan Negeri Sembilan, Tengku Badli Tengku Zalli turut menyampaikan sijil lantikan Rakan Strategik  kepada Pusat Internet Taman Desa Permai Repah dalam program ini.