Cadangan Baharu Ekonomi, Perdagangan Dibincang Dalam Pertemuan TPM Dengan Sultan Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Feb (Malaysiaaktif) - Beberapa cadangan baharu di dalam bidang ekonomi dan perdagangan yang bermanfaat untuk Malaysia dan Brunei dibangkitkan pada pertemuan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di sini hari ini.

Wan Azizah berkata ia termasuk cadangan mewujudkan kerjasama di antara dewan perniagaan Malaysia dengan dewan perniagaan Negara Brunei Darussalam.

"Ia merupakan usaha berterusan Kerajaan Malaysia yang baharu dalam mengukuhkan hubungan dua hala ke tahap yang lebih tinggi dan strategik," katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia di sini, malam ini.

Beliau yang tiba di sini pagi ini sedang dalam lawatan rasmi selama dua hari di Brunei, yang merupakan salah satu dari lawatan pengenalan beliau ke negara-negara Asean.

Beliau berkata sesi pertemuan dengan Sultan Brunei telah dimanfaatkan untuk menyatakan dengan lebih lanjut berkaitan dasar-dasar Malaysia di bawah pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan.

Katanya beliau turut sependapat dengan Sultan Brunei, bahawa hubungan Malaysia dan Brunei ketika ini berada ditahap yang terbaik.

"Baginda menzahirkan bahawa baginda mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan akan berjumpa dengannya di mesyuarat Rundingan Pemimpin Tahunan ke-22 pada 5 Mac ini di Putrajaya," katanya.

Wan Azizah berkata isu-isu serantau yang melibatkan peranan Malaysia, seperti peranannya dalam membantu pelarian Rohingya menerusi aktiviti kemanusiaan dengan penubuhan Hospital ‘Medan’ Malaysia di kem pelarian Cox’s Bazar, Bangladesh, turut disentuh dalam pertemuan itu.

Merujuk kepada pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan Brunei yang juga menteri bertanggungjawab mengenai wanita, keluarga dan masyarakat, Mej Jen (B) Datuk Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan Abidin, Wan Azizah berkata antara yang dibincangkan adalah usaha meningkatkan lagi kerjasama golongan wanita dan belia antara kedua-dua negara.

"Kami juga bertukar-tukar pandangan berkaitan amalan terbaik bagi dasar-dasar yang dapat membantu golongan warga emas… ia termasuk (pandangan mengenai) usaha-usaha yang telah dan boleh dilaksanakan bagi membantu persediaan golongan wanita untuk menyertai pasaran tenaga kerja," katanya.

Wan Azizah berkata beliau turut menawarkan kerjasama dari Malaysia untuk membantu Brunei dalam usaha berkaitan rehabilitasi golongan berkeperluan khas serta usaha memerangi jenayah siber lebih-lebih lagi yang melibatkan perlindungan kepada kanak-kanak. - BERNAMA