Naik Taraf Jalan Ayer Keroh Beri Manfaat kepada Rakyat

Laporan/ foto: Norazura Abdul Latif/ Mohd Izuddin Isnin (Melaka Tengah) 

AYER KEROH, 4 Mac (Malaysiaaktif) - Projek menaik taraf Jalan Ayer Keroh ke Bandar Melaka Fasa 1 telah selamat dilaksanakan. Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir, projek ini dilaksanakan sebagai menyokong kerajaan Negeri Melaka untuk terus memajukan sektor pelancongan di negeri ini.

Selain itu, projek ini diharap dapat memberi keselesaan kepada rakyat Melaka dan secara tidak langsung dapat membantu perkembangan sosio-ekonomi negeri Melaka. Menurut beliau lagi, projek ini terkandung dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11), yang mana kerajaan persekutuan bertanggungjawab melaksanakan projek ini seperti yang telah dirancang.WhatsApp Image 2019-03-04 at 16.46.46

Projek Fasa 1 ini merangkumi pembinaan persimpangan Peringgit yang bermula dari sebahagian Jalan Mufti Haji Khalil  iaitu di hadapan Hospital Melaka yang bermula  rantaian projek dari persimpangan Peringgit yang mana jalan berpecah kepada Lebuh Ayer Keroh dan Jalan Batu Berendam dan persimpangan Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) yang bermula dari kawasan industri Ayer Keroh ke Dataran Sejarah.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata Projek Jalan Ayer Keroh ke Bandar Melaka ini dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah rakyat terutamanya penduduk di sekitar Ayer Keroh berkaitan isu kesesakan dan keselamatan yang mereka hadapi apabila hendak masuk ke Bandar Melaka.

Projek menaik taraf Jalan Ayer Keroh yang menelan kos sebanyak RM385 juta ini siap sepenuhnya pada 11 Februari 2019.

“Atas kerjasama semua pihak, saya yakin dan percaya, kerjasama yang diwujudkan seumpama ini bukan sahaja memberi manfaat kepada semua pihak terbabit, malah yang lebih penting, kesejahteraan, keselesaan dan kebajikan rakyat dan penduduk sekitar kawasan ini sentiasa terpelihara,” ujar Adly ketika merasmikan projek ini pagi tadi.

Turut hadir, Exco kerajaan Negeri Melaka, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab dan Kerk Chee Yee, Timbalan Ketua Setiausaha Abdul Razak Jaafar, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya, Meor Abdul Aziz Osman.

 
-KN