Keluarga Mangsa Kejadian Tembakan Di Masjid Christchurch Dibantu

 
 Laporan/foto: Lyana Athirah Mohd Saad (Pokok Sena)

POKOK SENA, 17 Mac (Malaysiaaktif) - Insiden tembakan rambang yang menyasarkan jemaah solat Jumaat di Christchurch, New Zealand baru-baru ini adalah tragedi hitam terhadap kemanusiaan dan keamanan sejagat.

Ahli Parlimen Pokok Sena juga Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar mengecam kejadian tembakan di masjid Christhurch, New Zealand.

Tarmizi (kanan) bersama keluarga di New Zealand. Tarmizi (kanan) bersama keluarga di New Zealand.



“Saya berasa sedih dan kesal dengan tindakan tidak bertamadun ini, insiden berdarah ini bercanggah dengan nilai kemanusiaan yang sekali gus meragut nyawa orang awam,” ujarnya ketika menziarahi keluarga Tarmizi Shuaib yang merupakan salah seorang mangsa keganasan tersebut, di sini semalam.

Keluarga Tarmizi tinggal di Hutan Kampung dalam Parlimen Pokok Sena. Manakala Tarmizi menetap dan bekerja di New Zealand. Beliau dilaporkan mengalami kecederaan parah namun dalam keadaan stabil.

Pusat Khidmat Pokok Sena dan kerajaan negeri Kedah akan menaja dua tiket penerbangan kepada keluarga Tarmizi untuk segera menziarahinya.

“Pihak kami akan sedaya upaya membantu mangsa kejadian dan mendoakan agar Tarmizi kembali pulih,” tambah Mahfuz lagi.

Manakala keluarga Tarmizi meluahkan rasa terima kasih kepada kerajaan yang prihatin terhadap kejadian yang menimpa keluarga mereka.
-SH