Mahabbah Cycling 2019 Menyatukan Ummah

Laporan/foto :Ahmad Shahranie Ahmad Fauzi (Klang), Mohamad Zairin Mohamad Zin (Selangor)& Badarudin Shuib

SEMENTA, 17 Mac (Malaysiaaktif) - Mahabbah Cycling 2019 adalah satu program kayuhan amal yang diadakan buat julung kalinya bertempat di Masjid Al-Islah, Kampung Sementa Kapar semalam. Penganjuran kali ini melibatkan lebih 500 peserta berbasikal di kalangan kelab-kelab basikal sekitar Lembah Klang, masyarakat awam serta kakitangan agensi agama di negeri Selangor.

Objektif utama penganjuran program pada kali ini adalah untuk mengumpul dana bagi membiayai pembelian mesin-mesin hemodialisis di Pusat Dialisis Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bagi menggantikan mesin-mesin lama yang seringkali mengalami kerosakan.

Mesin sedia ada di 6 cawangan Pusat Dialisis MAIS adalah sebanyak 48 buah bagi menampunh 270 orang pesakit dan daripada jumlah itu terdapat 9 buah mesin hemodialisis perlu ditukar kerana tempohnya sudah melebihi 10 tahun dan sering berlaku kerosakan.

"Selamat datang kepada semua peserta Mahabbah Cycling 2019 untuk kita bersama-sama dengan Raja Muda Selangor berbasikal mengelilingi sebahagian daripada kampung-kampung di DUN Sementa" ucap Ahli Dewan Negeri Kawasan Sementa, Dr. Daroyah Alwi.

"Saya berharap program pada kali ini berjalan dengan baik dan berharap selepas ini boleh melaksanakan program yang sama seperti ini di masa yang akan datang", ujar Daroyah.

Raja Muda Selangor bersama peserta Mahabbah Cycling 2019. Raja Muda Selangor bersama peserta Mahabbah Cycling 2019.



Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah turut hadir mencemar duli bagi bersama-sama membuat kayuhan amal pada program kali ini. Sepanjang kayuhan amal ini sejauh 12 kilometer, Raja Muda Selangor berkenan menziarah sebuah keluarga asnaf fakir miskin dan seorang pesakit dialisis serta memyantuni pesakit dialisis di Pusat Dialisis MAIS, Cawangan Kapar.

Lebih RM700,000 dikumpul sempena Mahabbah Cycling 2019. Lebih RM700,000 dikumpul sempena Mahabbah Cycling 2019.



Raja Muda Selangor turut berkenan menerima sumbangan penajaan bagi Mahabbah Cycling 2019 pada kali ini iaitu dari :-

a) Bank Simpanan Nasional (BSN) sebanyak RM282,000.00
b) Central Sugar Refinery (CSR) sebanyak RM200,000. 00
c) Lembaga Tabung Haji sebanyak RM100,000.00
d) Lembaga Zakat Selangor sebanyak RM 80,000.00
e) Central Spectrum (M) Sdn Bhd sebanyak RM40,000.00 dan
f) Celcom Axiata Berhad sebanyak RM40,000.00

Program ini merupakan anjuran Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor sempena hari buah pinggang sedunia yang disambuat pada bulan Mac setiap tahun di seluruh dunia dengan mengetengahkan tema "Gaya Hidup Sihat, Untuk Buah Pinggang Sihat".

Turut hadir sama adalah, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang, Datuk Mohamad Yasid Bidin; Pegawai Daerah Klang, Mohd Zainal Mohd Nor dan Ketua Pegawai Penyelaras Lembaga Zakat Selangor, Abdul Basith Hamid.
-NAZ