Kerajaan Komited Bina Lebih Banyak Rumah Mampu Milik

Laporan/ foto: Ramasamy Amas (Jempol)

JEMPOL, 17 Mac (Malaysiaktif) – “Isu perumahan terutamanya berkaitan harga dan kemampuan untuk memiliki rumah, jika tidak ditangani akan terus memberikan implikasi negatif ke atas masyarakat,” demikian menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun  di Majlis Perasmian Sesi Pengundian Rumah Mampu Milik di Taman Zamrud Batu Kikir Jumaat lalu.

Pemohon rumah yang berjaya dalam cabutan undi. Pemohon rumah yang berjaya dalam cabutan undi.



Aminuddin juga berkata, kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan seluruh Negeri Sembilan telah meluluskan perancangan pembangunan rumah mampu milik oleh pemaju swasta sebanyak lebih kurang 3,700 unit Rumah Milik Mampu Milik Type A, 3,900 unit Rumah Mampu Milik Type B dan 4,100 unit Rumah Mampu Milik Type C. Manakala bagi Daerah Jempol ini sahaja, sebanyak 410 unit Rumah Mampu Milik Type A, 450 unit Rumah Type B dan 650 unit Rumah Type C akan dibina dalam tempoh terdekat oleh pemaju swasta sekitar Daerah Jempol.

Menurut beliau lagi, pelbagai agensi kerajaan turut bersama membangunkan rumah-rumah mampu milik, antaranya 452 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bawah Kementerian Perumahaan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Chembong Rembau, 100 unit PPR KPKT di Ladang Tanah Merah, Port Dickson, 100 unit rumah lagi diperingkat akhir untuk disiapkan iaitu PPR KPKT Rantau, 1,041 unit rumah di PRIMA Rantau, 659 unit rumah di PRIMA Port Dickson, dan 1,504 unit rumah di PRIMA Seremban Sentral akan dibangunkan.

Kerajaan negeri telah menerima sebanyak 397 permohonan daripada pelbagai lapisan masyarakat yang berminat untuk membeli Rumah Mampu Milik Type A setelah melepasi semua syarat yang telah ditetapkan termasuk semakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG). Seramai 104 orang pemohon yang mempunyai pendapatan isi rumah RM3,500 sebulan yang telah berkahwin dan belum memilik hartanah dipanggil untuk sesi undian pagi ini katanya.

Tambah beliau lagi kerajaan negeri telah mewajibkan pelaksanaan Dasar Perumaahan Negeri Sembilan, pemaju-pemaju perumaahaan perlu menyediakan 50% rumah mampu milik dalam setiap kawasan perumahan baru dan Rumah Mampu Milik Type  A berharga RM80,000.00

Sebelum itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahaan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru, Teo Kok Seong dalam ucapannya berkata, Majlis Pengundian ini adalah yang ketiga disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan  selepas pengundian di Taman Hala Cara Baru Gemas, Taman Bukit Sariman  dan Taman Bukit Senawang Perdana, Senawang.

“Perumahaan Taman Zamrud ini telah diluluskan kebenaran merancang pada tahun 2016, 18 unit rumah telah siap dibina dan mematuhi ketetapan dalam Dasar Perumahan Negeri Sembilan.”

Hasfah bersama suami dan anaknya. Hasfah bersama suami dan anaknya.



Salah seorang pemohon, Hasfah Mohammad, 34 yang berjaya dalam cabutan undian berkata beliau amat bersyukur dan gembira dan ini adalah rezeki anak yang berumur 5 bulan yang datang bersama dengan suaminya. Manakala Norhayati Abdul Rahman pula melahirkan rasa gembira kerana berjaya dalam undian dan mengesyorkan kepada kerajaan negeri agar dapat membina banyak lagi unit Rumah Mampu Milik dan Rumah Kos Rendah dibawah harga RM35,000.

Turut hadir Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jempol, Y.M Raja Norazli Raja Nordin dan Ir. Tan Suan Ching,  Pengurus Raya Baiduri Sdn. Bhd. Pemaju Taman Zamrud Batu Kikir.
-KN