Atopic Eczema; Perlu Diberi Perhatian

 
 Laporan/foto: Norizah Jadid/Saraspathy Letchumanan (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Malaysiaaktif) -
Atopic Eczema (AE) yang turut dikenali sebagai atopic dermitis merupakan salah satu gangguan kulit yang sering dialami oleh kanak-kanak dan orang dewasa di seluruh dunia.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr. Azman Abu Bakar, AE merupakan penyakit kulit dan keradangan yang kronik pada bahagian kulit.

"Satu kajian antarabangsa mengenai alergi, asma dan alahan bagi kanak-kanak baru-baru ini menunjukkan AE mencapai 12.6 peratus dalam kalangan kanak-kanak Malaysia dan terus meningkat pada kadar 0.49 peratus setahun.

"AE dikesan sebanyak 20 peratus di negara-negara maju seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat," katanya sempena Majlis Pelancaran Clinical Practice Guidelines Management of Atopic Eczema bertempat di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini hari ini.

Azman menegaskan AE perlu diberi penekanan kerana memberi kesan negatif terhadap kualiti kehidupan pesakit dan keluarga.

"Kajian Institut Pediatrik HKL berkaitan Indeks Kualiti Hidup Kanak-Kanak penghidap AE mendapati 60 peratus menghadapi masalah menggaru dan kesakitan kulit dan 52 peratus mengalami masalah gangguan tidur.

"AE bukan penyakit yang mengancam nyawa tetapi membebankan dari segi kos kerana mengambil masa yang lama untuk sembuh," katanya lagi.
-SH