Hasil Negara Dikongsi Bersama

 
 Laporan/foto: Mahazir Abu Hassan/Zainaudin Ab Hamid (Baling)

BALING, 21 Mac (Malaysiaaktif) - Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjelaskan dasar kerajaan Persekutuan hari ini bukan untuk bangunkan bandar sahaja, namun harus mencurahkan hasil dan kekayaan negara ini kepada masyarakat yang ada di kampung serta kawasan pendalaman.

"Ini mencerminkan kesungguhan dan komitmen kerajaan negeri Kedah dan kerajaan persekutuan yang komited, bersungguh-sunguh, ikhlas dalam membantu membina masa depan yang lebih selamat dan terjamin bagi warga pekebun-pekebun kecil.

"Pekebun-pekebun kecil telah membanting tulang bekerja dengan gigih untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan jasa mereka tidak dilupakan oleh kerajaan," katanya sempena Majlis Aspirasi Ekonomi Pekebun Kecil di Padang Awam Kampung Lalang Mukim Siong, di sini semalam.

Azmin turut memberi jaminan kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan akan bertekad membantu mengangkat martabat pekebun-pekebun kecil di seluruh negara.

"Dengan dasar ini kerajaan persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM338 juta untuk pekebun kecil di seluruh negara dan daripada jumlah itu kita setuju untuk memberikan sebanyak RM37 juta kepada pekebun kecil di negeri ini dan sebanyak RM6.5 juta akan diperuntukan kepada pekebun kecil daerah Baling," ujarnya lagi.

Bagi pekebun kecil Mohamad Zahir Mat Husin, 50, dari Kampung Sadek, berkata kehadiran Menteri Hal Ekonomi memberi sinar baharu kepada seluruh pekebun-pekebun kecil dengan beberapa pegumuman yang telah dibuat.

"Saya berharap apa yang diumumkan oleh Menteri Hal Ekonomi ini harus dilaksanakan segera oleh pihak-pihak yang diberi kuasa untuk membantu pekebun-pekebun kecil yang tertekan dengan keadaan harga getah yang amat rendah dan kos sara hidup yang tinggi sekarang," katanya ketika ditemui.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pengangkutan dan Industri Utama Negeri Kedah Azman Nasrudin, serta Ketua Pengarah RISDA Datuk Wan Ahmad Shabri Zainudin Wan Mohamad.
-SH