PBAKL Sasar 1.5 Juta Pengunjung

 
 Laporan/foto: Noraznaliza Mohd Asri/Parameswary Lekshmnan (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 30 Mac (Malaysiaaktif) – Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2019 (PBAKL 2019) yang membuka tirai pada 29 Mac hingga 7 April nanti di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), dijangka menarik kehadiran 1.5 juta pengunjung.

Penganjuran PBAKL kali ini menempatkan sekitar 700 buah gerai melibatkan lebih daripada 200 penerbit tempatan dan antarabangsa termasuk Singapura, Arab Saudi, Brunei dan Indonesia.

Acara tahunan anjuran Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dengan kerjasama persatuan-persatuan industri buku Malaysia ini turut mendapat sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Salah seorang pengunjung, Hamizah Ibrahim, berkata ini merupakan kali kedua beliau mengunjungi pesta buku ini bersama anak-anak untuk mendapatkan pelbagai buku ulang kaji pelajaran dengan harga berpatutan.

Lebih 700 buah gerai menawarkan pelbagai jenis bahan bacaan kepada para pengunjung PBAKL 2019 kali ini. Lebih 700 buah gerai menawarkan pelbagai jenis bahan bacaan kepada para pengunjung PBAKL 2019 kali ini.



“Saya seronok datang ke pesta buku ini kerana terdapat banyak pilihan buku-buku latihan ulang kaji dengan harga lebih murah daripada harga pasaran.

"Di samping itu, perkhidmatan LRT juga memudahkan perjalanan saya ke sini tanpa perlu memikirkan kesesakan lalu lintas dan tempat letak kereta,” kata Hamizah.

PBAKL juga menjadi platform alternatif mempromosikan kempen ‘KL Baca – Menyantuni Masyarakat Melalui Pembacaan' dengan memupuk budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia berikutan pengumuman Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia 2020 oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

Selain aktiviti jualan buku, acara selama 10 hari ini turut diselitkan dengan aktiviti-aktiviti menarik seperti pelancaran dan ulasan buku, ceramah serta wawancara bersama penulis terkenal.

Majlis Pelancaran PBAKL 2019 kali ini akan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik pada 30 Mac esok, di sini.
-SH