Empat Calon Rebut Kerusi DUN N.27 Rantau

Laporan/ foto: Daniel Jong dan Mohamad Ramadan/ Mohd. Khairulnizam M. Yunus (Seremban) 

SEREMBAN, 31 Mac (Malaysiaaktif) – Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi N.27 Rantau menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan  dua calon Bebas.

Calon telah diumumkan di Dewan Serbaguna, SJK (C) Bandar Seri Sendayan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Mohd. Nizam Tajul Arus, selepas borang pencalonan diterima oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan ditutup pada 10 pagi semalam. Sebanyak empat borang pencalonan telah diterima, difahamkan sebelum ini terdapat lapan borang pencalonan telah dibeli, namun pada hari penamaan hanya empat calon yang mengesahkan pencalonan dan kesemua borang penamaan calon mereka tiada yang ditolak. Tempoh penyerahan borang penamaan calon bermula pukul 9.00 pagi dan ditutup pada 10.00 pagi.

Antara calon yang layak bertanding dalam PRK N.27 Rantau ini adalah dari Pakatan Harapan (PH), Dr. S. Streram, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hj. Hasan dan dua dari calon BEBAS iaitu Malarvizhi M. Rajaran dan Mohd. Nor Yassin.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau ini kosong apabila pada 16 November 2018, Mahkamah Tinggi Seremban memutuskan kemenangan Mohamad Hasan di DUN N.27 Rantau ini pada Pilihan Raya Umum  Ke-14 (PRU-14) lalu, batal dan tidak sah. Jangkaan keputusan Mahkamah Rayuan menerima rayuan atau tidak berhubung kemenangan Mohamad Hasan adalah pada 18 Februari 2019 dan Mahkamah Persekutuan memutuskan rayuan Mohamad Hasan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ditolak.

Dr. S.Streram bersama barisan tertinggi parti yang hadir. Dr. S.Streram bersama barisan tertinggi parti yang hadir.



Mohamad Hasan sendiri pada PRU-14 telah menang tanpa bertanding di kerusi DUN Rantau selepas Pakar Bius yang juga calon PH, Dr. Streram dilarang masuk ke pusat penamaan calon kerana tertinggal pas yang dikeluarkan oleh SPR.
-KN