Berkat Usaha Gigih; Peniaga Burger Miliki Dua Buah Rumah

Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sarawak)

SRI AMAN, 4 Apr (Malaysiaaktif) - Biarpun 'pejabatnya' hanyalah di tepi jalan, lelaki berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mesra disapa sebagai Din itu mengakui bersyukur dapat menjana pendapatan demi menyara keluarganya. Siapa tidak kenal “DIN BURGER” jenama burger yang cukup gah di Sri Aman malahan hampir ke seluruh Sarawak


Jafarudin Drahman, 42, pernah berkecil hati apabila cuba mempertahankan keputusannya untuk berdikari dengan membuka gerai menjual burger dan roti john.


Masih segar dalam ingatan, dia pernah ditegur jiran, kenalan dan ahli keluarganya sendiri yang skeptikal dengan masa depan kerja tersebut. Begitupun, dia tidak pernah berjauh hati atau kecewa dengan pilihannya, lebih-lebih lagi dia kini sudah melihat pulangan hasil titik peluhnya itu.


Bapa kepada 4 orang anak itu percaya, pengusaha gerai yang rajin berusaha dengan jualan memberangsangkan mampu menjana pendapatan yang setaraf dengan gaji purata pekerja pejabat.


Namun, untuk mencapai objektif tersebut, banyak yang perlu Din lalui terutamanya tentang cabaran dan selok-belok berniaga.


"Perlu ada semangat untuk berjuang. Berniaga perlu ada niat yang betul untuk berjaya dan jangan mudah berputus asa," ujar Din ketika ditemui di gerainya berhadapan Tua Pek Kong, Sri Aman.


Pada awalnya, Din  bermula sebagai pembantu gerai burger dengan gaji RM10 sehari. Kesanggupan bekerja pada usia semuda 17 tahun dengan gaji yang rendah bukan suatu untuk disesalkan.


Dia sebaliknya menganggap itu merupakan peluang terbaik untuk mempelajari asas perniagaan memandangkan dia sifar pengalaman.




Gerai Burger Din yang telah diusahakan beliau sejak tahun 1995. Gerai Burger Din yang telah diusahakan beliau sejak tahun 1995.


“Dalam perniagaan burger ini pelbagai orang saya jumpa kebanyakannya datang dari pelbagai jenis latar belakang. Biasalah bisnes sebegini kita perlu berhadapan dengan banyak ragam. Dari sinilah saya belajar tentang marketing secara retail. Bagaimana untuk approach pelanggan yang berbeza ras serta rupa, ini juga satu cabaran awal yang saya hadapi dulu.


"Ketika kawan-kawan menyambung pengajian dan mencari kerja yang lebih 'selamat', saya pula ketika itu berkawan dengan seorang abang bernama Ali dan menjual burger bersamanya," kata Din mengimbas memori tahun 1995 ketika mula belajar menjual burger.


Selepas dua tahun berniaga, dia telah mengambil alih perusahaan burger tersebut dan tuan gerainya yang mengalami masalah kesihatan dan bermula dari situlah segala-galanya berubah untuk Din apabila suatu ketika beliau didekati seorang chef yang sedia berkongsi tip menjadikan burger lebih lazat iaitu sos yang digunakan.


"Chef itu memberi saya tip bahawa keenakan burger terletak pada kombinasi sos cili dan mayonis yang terbaik. Jadi, saya pun mencuba kombinasi pelbagai jenis sos cili dan mayonis sehingga mendapat rasa terbaik.


Adat dalam perniagaan, Din tidak terlepas daripada jatuh dan bangun dalam resam berniaga. Kerugian dan menanggung hutang itu lumrah. Semua itu berlaku ketika dia berhasrat membuka perniagaan sendiri..


Sambil sibuk melayan pelanggan yang sudah beratur panjang menempah burger ayam dan daging serta ada kalanya turut menjual burger kambing, Din memberitahu, dia sudah terbiasa dengan suasana tersebut. Jika ada tempahan secara pukal, Din akan menggandakan operasinya.


"Kebiasaannya saya akan menjual kira-kira 300 biji burger ataupun bersamaan dengan 50 bungkus roti semalam. Ada hari-hari yang lebih tinggi jualan. Semuanya, memberi pulangan yang lumayan iaitu dengan untung bersih kira-kira RM400 hingga RM500 sehari," katanya yang menjalankan perniagaan dari pukul 5 petang hingga 11.30 malam.


Memang benar, rezeki tidak akan datang bergolek dan rezeki juga hadir dalam pelbagai bentuk, 10 tahun lalu Din ditawarkan pekerjaan tetap sebagai Pembantu Awam di Kem Pakit, Sri Aman, memikirkan bahawa komitmen terhadap kerjaya tetap Din mengambil dua orang pekerja untuk membantunya berniaga burger disamping turut dibantu isterinya. Kini, mereka memiliki dua buah kereta, dua buah motosikal serta dua buah rumah hasil rezeki berniaga di tepi jalan itu.


"Persepsi orang bahawa menjual burger tepi jalan tidak akan membawa saya ke mana-mana adalah sama sekali tidak benar. Jika seseorang itu rajin, mempunyai semangat berniaga dan mahu terus maju, rezeki boleh diraih di mana-manapun," katanya yang turut meluaskan perniagaannya dengan menceburi bidang pembekalan makanan kepada sekolah sekolah serta turut menyimpan hasrat membuka beberapa kiosk jenama DIN BURGER di seluruh Sarawak.