Pendedahan Sistem Pilihanraya kepada Pelajar Sekolah

Laporan/ foto: Mohd Muhaimin Amran (Jasin)

JASIN, 4 Apr (Malaysiaaktif) - Seramai lebih 180 pelajar sekolah Menengah Kebangsaan SMK (A) Tun Perak telah menghadiri Program Amalan Demokrasi Berparlimen yang terdiri daripada pelajar-pelajar tingkatan 4 hingga tingkatan 5 yang mewakili Kelab Malaysiaku dan Kelab Sejarah Sekolah, bertempat di SMK (A) Tun Perak, di sini, semalam.

Program anjuran Pejabat Penerangan Daerah Jasin dengan kerjasama Suruhanjaya Pilihanraya Negeri Melaka bersama Kelab Malaysiaku SMK (A) Tun Perak ini telah memberi impak yang sangat baik kepada pelajar tentang pentingnya sistem demokrasi yang diamalkan di dalam sistem pentadbiran di Malaysia

Program kerjasama ini telah memberi peluang kepada pelajar untuk lebih memahami tugas-tugas yang dilaksanakan pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Malaysia melalui ceramah dan taklimat yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah SPR Negeri Melaka, Razif Jorami.

Menurutnya, program ini dapat memberi peluang kepada pelajar tentang pentingnya amalan demokrasi yang menjadi tunjang utama dalam pentadbiran negara melalui proses pilihanraya yang dilakukan.

Taklimat Pilihanraya disampaikan oleh Timbalan Pengarah SPR Melaka, Razif Jorami. Taklimat Pilihanraya disampaikan oleh Timbalan Pengarah SPR Melaka, Razif Jorami.



Katanya lagi, “pelajar didedahkan dengan 'Simulasi Pilihanraya' iaitu bagaimana sesebuah proses pengundian dijalankan. Dengan ini, pelajar dapat meningkatkan moral serta semangat untuk menjadi sebahagian 'Pemilik Kuasa' yang menentukan masa depan negara.

Menurut seorang peserta yang merupakan Pelajar daripada Kelab Malaysiaku SMK Tun Perak, Muhammmad Ammar Mirza Muhamad 17, "saya rasa berbaloi kerana turut bersama dalam program ini yang memberi pemahaman kepada saya tentang sistem peralihan kuasa secara demokrasi melalui pilihanraya.”

Manakala bagi Ahmad Asyraf Kaharudin, 17, dia berjanji untuk menjalankan tanggungjawabnya sebagai pengundi di pilihanraya masa akan datang sekiranya telah berumur 21 tahun dan layak untuk mengundi.

Dalam program tersebut turut diadakan sesi kuiz dan Simulasi Pilihanraya serta Perjanjian Persefahaman (MoU) antara pihak sekolah dan Kelab Malaysiaku bersama Pejabat Penerangan Daerah Jasin bersama Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) supaya jalinan hubungan antara agensi akan lebih utuh pada masa akan datang.

Turut hadir Pengetua SMK (A) Tun Perak, Mohd Khairuddin Yusop, Pegawai Penerangan Daerah Jasin, Azreen Ahmad.
-KN