Kolej Komuniti Lahir Graduan Memenuhi Kehendak Industri

Laporan/foto: Siti Fairuz Ngatenan / Robin Junang (Sarawak)

KUCHING, 5 Apr (Malaysiaaktif) - Seramai 17 orang pelajar Sijil Fesyen dan Pakaian (SFP) Kolej Komuniti Kuching (KKKg) berjaya membentangkan hasil kerja  masing-masing semasa Program Penilaian Akhir Pelajar bertempat di Dewan Serbaguna di sini.


Penilaian ini melibatkan dua kursus iaitu SFP 2032 (Senireka Fesyen 1) dan SFP 2043 (Evolusi Fesyen) sesi Disember 2018. Sepanjang mengikuti pembelajaran selama dua semester mereka telah berjaya menonjolkan dan mempraktikan kemahiran yang dipelajari.


Sebagai sebuah kolej yang mementingkan graduan berkemahiran terutama dalam bidang bidang teknikal, kreativiti dan inovasi, ia perlu satu mekanisme untuk membuat penilaian ke atas pencapaian pelajar. Kolej Komuniti amat perihatin dengan keperluan industri fesyen dan pakaian masa kini serta  memastikan lulusan Kolej Komuniti mempunyai pekerjaan atau mengusahakan sendiri keusahawanan fesyen.




Antara hasil kerja pelajar yang dipamerkan untuk penilaian Antara hasil kerja pelajar yang dipamerkan untuk penilaian


Dengan adanya penilaian begini, pelajar dapat mengenalpasti kekuatan dan kelemahan serta peluang mereka untuk memperbaikinya. Apabila mereka keluar dan berhadapan dengan alam pekerjaan atau keusahawanan mereka dapat mengenalpasti perkara yang sepatutnya dilakukan.


Bagi lulusan bidang ini pula mungkin peluang untuk mengusahakan sendiri butik atau kedai penjualan pakaian dan fesyen agak cerah sekiranya mereka dapat mempelajari selok-belok dunia keusahawanan. Penilaian begini penting sebagai kayu pengukur pencapaian sepanjang menuntut ilmu bidang tersebut.


Ketua Program SFP selaku Ketua Penilai, Encik Mohd Aliff Safuan Jamaluddin berkata, “program dijalankan bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai susun atur bahan pembentangan secara profesional kepada panel penilai selain memupuk semangat berpasukan dalam kalangan pelajar”.


Beliau turut berharap agar program ini dapat meningkatkan IQ pelajar mengenai Fesyen dan Pakaian selain meningkatkan keyakinan pelajar untuk membuat pembentangan di hadapan khalayak ramai.


Sebanyak lima orang panel yang terlibat dalam penilaian hasil kerja pelajar iaitu Encik Mohd Aliff Safuan, Encik Mohamad Shukri Che Ya, Encik Nur Hakim Raifli, Puan Elfy Fariza Sharkawi dan Cik Joana Wik anak Ningkan. Kesemua mereka merupakan pensyarah Fesyen dan Pakaian di Kolej Komuniti Kuching.



-ER