I-SURI Gembirakan Penerima E-Kasih

 
 Laporan/foto : Siti Nor Asikin Haria (Bandar Baharu)

SERDANG, 9 Apr (Malaysiaaktif) - Lebih 130 daripada 383 orang pendaftar e-Kasih bagi Daerah Bandar Baharu yang melibatkan enam mukim seperti Mukim Sungai Batu, Mukim Selama, Mukim Serdang, Mukim Sungai Kechil Ilir, Mukim Bagan Samak dan Mukim Relau telah berjaya mendaftar sebagai ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)/ i-Suri.

Pegawai Pentadbiran KWSP Cawangan Georgetown, Amar Afifi Omar memberitahu bahawa terdapat dua skim persaraan di Malaysia iaitu Skim Pencen Pekhidmatan Awam dan Skim Kumpulan Wang Nasional sebagai skim simpanan untuk pesaraan pekerja.

"Cabaran utama bagi dana persaraan bagi rakyat Malaysia ialah purata jangka hayat rakyat Malaysia yang hidup lebih lama dengan anggaran jangka hayat 75 tahun sejak tahun 2015 menyebabkan jumlah dana persaraan ahli tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup.

Amin (kiri), membantu urusan pendaftaran KWSP/i-Suri penerima. Amin (kiri), membantu urusan pendaftaran KWSP/i-Suri penerima.



"Isi rumah perlulah melakukan pendaftaran ahli KWSP dengan membuat caruman minimum sebanyak RM5 setiap bulan atau RM60 bagi setahun ke akaun simpanan persaraan bagi melayakkan menerima insentif kerajaan sebanyak RM40 sebulan atau maksimum RM480 setahun," katanya sempena program pendaftaran i-Suri, di sini semalam.

Isi rumah yang menjadi ahli KWSP/i-Suri akan menerima manfaat yang sama seperti ahli KWSP lain seperti dividen tahunan ke atas simpanan persaraan, pengeluaran simpanan pada umur 50, 55 dan 60 tahun, bantuan kematian, bantuan hilang upaya serta pelepasan cukai.

Ketua Cawangan KWSP Kulim Mohd Amin Mat Isa, berkata mereka mengadakan Kaunter Bergerak KWSP dengan perkhidmatan yang diberikan adalah pendaftaran i-Suri, pendaftaran i-Saraan, pendaftaran akaun ahli KWSP, pendaftaran nama penama dan semakan akaun secara dalam talian.

Sebahagian daripada penerima i-Suri kusyuk mendengar taklimat. Sebahagian daripada penerima i-Suri kusyuk mendengar taklimat.



"Selain daripada i-Suri untuk golongan wanita yang berdaftar dalam e-Kasih, terdapat KWSP/i-Saraan yang juga merupakan inisiatif kerajaan bagi golongan yang bekerja sendiri iaitu mereka yang tiada majikan mahupun tiada pendapatan tetap untuk melakukan caruman bagi simpanan pada hari tua.

"Mereka perlulah melakukan pendaftaran ahli KWSP/i-Saraaan dengan membuat caruman secara sukarela mengikut kemampuan dengan jumlah minimum kadar simpanan tahunan sebanyak RM1700 bagi melayakkan menerima insentif kerajaan sebanyak maksimum RM250 setahun," katanya.

Seorang penduduk Kampung Sungai Tengas Hilir Norazita Sahidan, 32, menjelaskan beliau amat berterima kasih kerana telah memberikan bantuan caruman i-Suri kerana bantuan tersebut sedikit sebanyak membantunya mempunyai simpanan akaun KWSP pada hari tua.

"Saya gembira kerana urusan pendaftaran ini dipermudahkan," kata suri rumah beranak lima ini.
-SH