Berakhir Sebuah Penantian

 
 Laporan/foto: Zurina Saad/Othman Ariff (Yan)

YAN, 12 Apr (Malaysiaaktif) - Majlis penyerahan kunci Taman Muafakat, Dulang ternyata membawa sinar baharu apabila kemelut yang menghantui penduduk-penduduk taman tersebut berjaya dirungkai dengan kesepakatan semua pihak yang terlibat.

Seramai 97 orang penerima yang kehilangan tempat tinggal akibat fenomena hakisan pantai 15 tahun yang lalu menerima kunci kediaman baharu, semalam.

Antara penerima-penerima Taman Muafakat Dulang yang hadir pada majlis penyerahan kunci rumah, di sini semalam. Antara penerima-penerima Taman Muafakat Dulang yang hadir pada majlis penyerahan kunci rumah, di sini semalam.



Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Kok Yew, mengucapkan tahniah kepada semua penerima dan terharu dengan kesabaran mangsa-mangsa yang setia menunggu walaupun mengambil masa yang agak lama.

“Pihak kerajaan sentiasa memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela terutamanya golongan yang berpendapatan rendah di luar bandar dan berharap agar penduduk taman ini menghargai dan menjaga kemudahan yang terdapat di situ dengan sebaik mungkin,” katanya ketika menyampaikan kunci rumah, di sini semalam.

Rata-rata pemilik rumah yang ditemui meluahkan rasa lega, syukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang telah berusaha menyelesaikan kemelut yang berlarutan sejak sekian lama.

Saari Ahmad, 65, pemilik rumah di taman tersebut meluahkan rasa syukur kerana penantiannya selama ini telah pun berakhir.

“Ramadan dan Syawal yang akan datang akan lebih bermakna kerana kami telah berpindah ke rumah baharu dan tidak lagi menumpang di rumah mentua,” katanya.

Turut hadir ke majlis tersebut ialah Penyelaras Parlimen Jerai, Akramsyah Muamar Ubaidah dan Pegawai Daerah Yan Yusri Md Daud.
-SH