Terapi Ketawa Kurangkan Stres

 
 Laporan/foto: Norulhuda Mohd (Kota Setar)

ALOR SETAR, 12 Apr (Malaysiaaktif) - Tekanan kerja dan faktor persekitaran mampu mengundang stres yang melampau sehinggakan seseorang itu menjadi kemurungan dan cenderung untuk membunuh diri.

Exco Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Negeri Kedah, Halimaton Saadiah, berkata Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) secara berterusan akan melaksanakan program-program khusus bagi menangani keganasan terhadap wanita berikutan kes-kes keganasan rumah tangga dan stres dalam kalangan wanita berada pada tahap yang membimbangkan.

“Clinic de Stress merupakan salah satu pengisian program bagi Kempen Hentikan Keganasan Terhadap Wanita selain daripada program klinik undang-undang dan Wanita Anti Jenayah (WAJA) yang akan dilaksanakan di seluruh negara melalui Pejabat Pembangunan Wanita (PPWN).

“Selain keganasan rumah tangga, golongan wanita tidak terkecuali menghidapi kemurungan apabila gagal menangani stres dengan baik,” katanya ketika merasmikan majlis, di sini semalam.

Pakar Perubatan Kecemasan dari Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, Dr. Hardawani Mohd Hussein menerangkan faktor penyebab kemurungan serta cara mengatasinya dan masalah kesihatan mental.

“Antara kaedah yang diamalkan di seluruh dunia dalam mengatasi stress adalah dengan mengamalkan terapi ketawa yang dipercayai mampu mengawal kemurungan.

“Ketawa dipercayai berperanan dalam melawan virus, bakteria, kanser dan penyakit jantung. Selain menghilangkan stres, ketawa juga dapat meningkatkan sistem imun, hormon endorphine dan memperbaiki sistem pernafasan,” katanya ketika ditemui pemberita.
-SH