‘Hero’ Sudah Datang

 
 Laporan/foto: Fasharina Kholil/Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah (Sik)

SIK, 12 Apr (Malaysiaaktif) – Sekumpulan ‘adiwira’ berjaya menceriakan pesakit-pesakit di wad kanak-kanak di Hospital Sik, di sini apabila hadir berkostum lengkap dan menghiburkan penghuni di situ.

Program Perpustakaan Prihatin anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah (PPAK) itu bertujuan memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat selaras dengan misi perbadanan tersebut.

Salah seorang pesakit teruja bermain permainan lego giant, di sini semalam. Salah seorang pesakit teruja bermain permainan lego giant, di sini semalam.



Ketua Unit Gerakan Literasi PPAK Norilsyahirah Ilias, berkata lawatan amal ini diadakan dengan hasrat untuk menzahirkan rasa prihatin PPAK terhadap keadaan sukar yang sedang dihadapi oleh para pesakit dan keluarga mereka sepanjang berada di hospital.

"Pesakit dan keluarga pasti sedang berdepan dengan waktu yang sukar ketika berada di hospital ini dan kehadiran kami diharapkan dapat memberi keceriaan kepada pesakit serta keluarga.

"Kehadiran maskot adiwira seperti Batman dan Superman menambahkan lagi keceriaan pesakit kanak-kanak dan petugas di wad kanak-kanak ini,” katanya ketika ditemui semalam.

Ujar Norilsyahirah lagi, pengalaman ini juga dapat memberi informasi kepada ahli yang menyertai lawatan akan kepentingan penjagaan kesihatan anak-anak dan penyakit-penyakit yang mungkin dihidapi oleh kanak-kanak.

"Kami turut memberi peluang kepada pesakit kanak-kanak bagi menyertai beberapa aktiviti seperti permainan lego giant dan puzzle.  Melalui acara dan pengisian yang kami jalankan, boleh dilihat senyuman dan keceriaan dalam kalangan mereka yang berada di sini,” katanya sambil mengharapkan para pesakit sentiasa positif dan kembali sembuh dengan segera.
-SH