i-SURI Produk Terbaik Untuk Kaum Hawa

Laporan/foto : Suhaimi Nik Wil / Mohd Zulfadli Ab Hamid (Kuala Krai)

KUALA KRAI, 17 Apr (Malaysiaaktif) – Lebih 2,000 orang hadir untuk membuat pendaftaran i-SURI, i-SARAAN dan Rebat 40 TNB di Dewan Pejabat KESEDAR Wilayah Kuala Krai hari ini.

Sebagaimana yang diketahui umum, Program i-SURI , i-SARAAN dan Rebat 40 TNB yang telah diperkenalkan oleh kerajaan merupakan inisiatif kerajaan untuk membantu meningkatkan ekonomi rakyat di negara ini.

Program yang diuruskan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ini dilihat antara produk terbaik kerajaan kepada rakyat, terutama mereka yang berpendapatan rendah.

Sejajar dengan itu, Pejabat Penerangan Daerah Kuala Krai dengan kerjasama Persatuan Aspirasi Murni Kuala Krai yang turut dibantu oleh Pejabat KWSP Kuala Krai, TNB Kuala Krai dan PTPTN Kuala Krai sekali lagi telah mengadakan satu program yang dinamakan Program Pencernaan Minda dengan membuka kaunter pendaftaran i-SURI, i-SARAAN, Rebat 40 TNB dan PTPTN di Dewan Pejabat KESEDAR Wilayah Kuala Krai, pada hari ini.

Program yang bermula seawal pukul 8.00 pagi itu mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari penduduk sekitar Kuala Krai.

Program seperti ini perlu sentiasa diadakan, khususnya di kawasan pedalaman bagi memudahkan penduduk setempat membuat pendaftaran i-SURI tanpa perlu ke Pejabat KWSP yang terletak di Pekan Kuala Krai.

Menurut Cheng Po Cen, 41, Ketua Chapter Negeri Kelantan yang turut sama hadir di program hari ini terkejut dengan kehadiran orang ramai ke program ini.

Kaunter i-SURI diserbu orang ramai Kaunter i-SURI diserbu orang ramai



“Saya sangat terkejut dengan kehadiran masyarakat Kuala Krai di program ini sehingga dewan yang sebegini besar pun tidak muat. Ini menunjukkan rakyat sangat berminat dengan produk i- SURI yang diperkenalkan oleh kerajaan persekutuan," ujar Cheng.

Lim Ann Teck, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Kelantan, yang turut hadir sama berkata, program ini dapat memberi pendedahan kepada masyarakat berkenaan dasar-dasar kerajaan pada hari ini.

“Kerjasama dari pelbagai agensi dan NGO memberi kemudahan kepada kami Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Kelantan untuk mengadakan program sebegini bagi menyampaikan mesej dan dasar-dasar kerajaan. i-SURI, i-SARAAN dan Rebat 40 TNB ini merupakan antara usaha kerajaan untuk membantu rakyat di negara ini dan rakyat yang berkelayakkan wajar merebut peluang ini,” ujar Lim semasa menyampaikan ucapan perasmian di program itu.

"Kaum wanita yang berkelayakan boleh membuat pendaftaran i-SURI manakala kaum lelaki yang berkelayakan pula boleh membuat pendaftaran i-SARAAN mengikut terma dan syarat yang disediakan," katanya.

"Mengenai Rebat 40 TNB pula, orang ramai juga boleh membuat semakan kelayakan melalui kaunter yang disediakan pada hari ini. Diharapkan orang ramai menggunakan peluang pada hari ini untuk menyemak dan membuat pendaftaran dan jika tidak faham bolehlah merujuknya melalui kaunter-kaunter yang disediakan pada hari ini," ujar beliau lagi.

Manakala Nur Chairil Azizi Saiful, Pegawai KWSP Daerah Kuala Krai, berkata program ini turut memberi kemudahan kepada pihak KWSP dalam usaha membantu rakyat membuat pendaftaran i-SURI dan i-SARAAN. Rakyat yang ingin mendaftar i-SURI perlu mendaftar e-Kasih terlebih dahulu dan pada hari ini orang ramai turut berpeluang untuk membuat pendaftaran e-Kasih melalui borang yang disediakan.

"Masih ramai yang tidak tahu mengenai manfaat i-SURI dan i-SARAAN ini. Hari ini diharapkan masyarakat dapat memahami dengan jelas apa itu i-SURI dan i-SARAAN berserta manfaatnya,"tambahnya.

"Ini kerana selain membuka kaunter pendaftaran, kami juga turut mengadakan taklimat supaya orang ramai dapat memahami dengan jelas berkenaan i-SURI, i-SARAAN, Rebat 40 TNB dan PTPTN," jelas Nur Chairil.

Peserta program, Ibrahim Che Ngah, 58, berpandangan bahawa program seperti ini sangat baik dan wajar diteruskan. “Program i-SURI dan i-SARAAN ini merupakan produk terbaik kerajaan untuk membantu rakyat tanpa mengira fahaman politik. Saya dan rakan-rakan yang lain sangat teruja untuk datang ke program ini kerana kami sangat kurang jelas mengenai i-SURI dan i-SARAAN sebelum ini tetapi hari ini saya sudah mula faham tentang kebaikan program ini,” ujarnya.
- NAZ