Setahun Satu Padang - Khairuddin

Laporan / foto : Mohamad Zairin Mohamad Zin (Selangor)

PAYA JARAS, 16 Apr (Udabayas) - EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman menyatakan kerajaan negeri telah menyasarkan pembangunan sebanyak lima buah padang dalam penggal ini iaitu satu padang satu tahun.

"Fokus saya untuk tahun ini adalah untuk menaik taraf ke semua padang bola sepak dan juga futsal di mana ia merupakan padang terbuka yang kita boleh gunakan tanpa perlu minta izin daripada pihak stadium dan bagi usaha ini, bukan hanya menggunakan duit ADUN saja tetapi kerajaan negeri akan menampung RM40,000 bagi setiap DUN," kata Khairuddin ketika ditemui media pada Program Sukan Luar Bandar Edisi Selangor 2019 bertempat di Stadium Mini Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kelmarin.

Selain itu, beliau turut menekankan program Sukan Luar Bandar seperti ini perlu diadakan di semua tempat dan daerah kerana ia dapat memupuk minat serta mengumpulkan masyarakat untuk bersama-sama bersukan di samping dapat menjaga kesihatan bersama.

"Ini merupakan satu inisiatif daripada Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) dan satu langkah yang proaktif ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara bersukan dapat dilaksanakan dan dijayakan," kata beliau lagi.

"Penganjuran ini turut dijadikan tempat untuk mempamerkan bakat dalam bidang sukan selain dapat memupuk semangat perpaduan dalam masyarakat kini," ujar Khairuddin.
-NAZ