Pelajar Perempuan Juara Main Wau

 
 Laporan/foto: Fasharina Kholil/Rasidi Che Sa (Sik)

SIK, 18 April (Malaysiaaktif) - Bagi memartabatkan kembali permainan wau sekaligus memastikan ia tidak luput ditelan zaman, Jabatan Penerangan Daerah Sik dengan kerjasama Maktab Mahmud Sik (MMSik) mengambil inisiatif bagi menganjurkan Pertandingan Wau.

Menurut Penolong Kanan Kokurikulum MMSik, Muhamad Sharul Anuar Rejab, usaha melaksanakan pertandingan ini adalah bagi memastikan permainan tradisional ini terus mendapat tempat di hati orang ramai khususnya generasi muda.

"Keseronokkan permainan wau ini bukan sahaja mengimbau memori sewaktu zaman kanak-kanak, malah usaha membudayakan kembali permainan ini berupaya meneruskan legasi warisan budaya ini dalam kalangan generasi muda.

"Pertandingan ini berjaya menarik perhatian para pelajar di sini untuk menyertai dan merasai sendiri pengalaman membuat serta menaikkan wau sekaligus mencungkil bakat terpendam dalam aktiviti kesenian dengan menghasilkan wau tradisional," katanya yang ditemui, di sini semalam.

Markah bonus diberikan kepada wau yang berjaya dinaikkan. Markah bonus diberikan kepada wau yang berjaya dinaikkan.



Peserta diadili menerusi tiga kriteria iaitu kekemasan reka bentuk, kreativiti serta ketahanan, dan markah bonus akan diberikan sekiranya peserta berjaya menaikkan wau tersebut dengan baik.

Johan pertandingan, Nursyafiqah Izzati Mohd Azhar berjaya mengenepikan cabaran 11 peserta yang lain.

Syafiqah berkata dia sama sekali tidak menyangka wau yang dihasilkan dengan bantuan rakan-rakan berjaya menarik perhatian juri.

"Penyertaan saya dalam pertandingan ini hanyalah sekadar suka-suka dan ingin mencuba, dan sangat teruja apabila berjaya menaikkan wau setelah lama meninggalkan permainan tersebut," ujar pelajar tingkatan empat itu.
-SH