Bengkel Juruacara Cungkil Potensi dan Bakat Pelajar

Laporan/foto : Normah Sapa’in / Mohd Anizan Mat Daud (Kota Bharu)

KOTA BHARU, 18 Apr (Malaysiaaktif) – Juruacara sesebuah majlis memainkan peranan penting dalam menyampaikan mesej serta menyuntik kemeriahan pada majlis tersebut.

Di samping kelancaran tutur kata yang jelas, juruacara juga bertindak sebagai rujukan salutasi dan protokol bagi majlis-majlis rasmi.

Profesion juruacara dilihat sebagai satu bidang profesional yang mendapat tempat dan diminati ramai golongan muda, khususnya yang berhasrat menceburi dunia penyampaian di televisyen, radio dan majlis-majlis keramaian.

Tugas pengacaraan majlis juga amat sinonim dengan Jabatan Penerangan Malaysia yang merupakan satu-satunya agensi kerajaan yang menyediakan perkhidmatan juruacara di majlis-majlis rasmi kerajaan.

Peserta menunjukkan bakat sbg juruacara Peserta menunjukkan bakat sbg juruacara



Menyedari potensi bidang ini, Pejabat Penerangan Daerah Kota Bharu bersama Kelab Malaysiaku SMK Pintu Geng hari ini telah mengadakan Bengkel Pengacaraan Majlis yang melibatkan hampir 100 orang pelajar bagi melatih dan mencungkil bakat baru demi melahirkan pelapis masa depan dalam pengendalian pengacaraan.

Pegawai Penerangan Daerah Kota Bharu, Azmee Mohd Noor, berkata elemen yang dimuatkan dalam bengkel ini adalah pengenalan pengacara majlis, protokol majlis, penyediaan skrip dan latihan praktikal yang perlu dilakukan oleh peserta bengkel, peserta turut diberi tugasan dalam kumpulan serta diminta tampil ke hadapan bagi mempraktikkan segala yang diajar.”

"Jabatan Penerangan Malaysia berupaya menyampaikan ilmu, mengasah dan mencungkil bakat pelajar serta masyarakat memandangkan bidang pengacaraan majlis adalah salah satu skop tugas penting jabatan," ujar Azmee lagi.

“Bengkel Pengacara Majlis melalui Program Amalan Demokrasi Berparlimen anjuran Pejabat Penerangan Daerah Kota Bharu telah dilaksanakan melalui Kelab Malaysiaku Maktab Sultan Ismail pada 10 April, SMK Kota Bharu pada 16 April dan SMK Pintu Geng pada hari ini, adalah bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar agar mempunyai keyakinan diri berucap di khalayak umum di samping mengasah bakat pelajar dalam bidang pengacaraan demi masa depan,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian.

“Penglibatan lebih 300 peserta daripada tiga sekolah ini menunjukkan pelajar mempunyai minat dan berani mencabar diri di bidang pengacaraan majlis ini,” tambahnya lagi.

Peserta dalam acara dalam kumpulan Peserta dalam acara berkumpulan



Guru Penyelaras Kelab Malaysiaku SMK Pintu Geng, Nik Noor Azlinna Noor Basir, 48, berkata bengkel yang berlangsung pada hari ini dilihat memberi fokus terhadap elemen penting yang perlu diketahui pelajar untuk mengendali sesebuah majlis.

“Program seumpama ini amat baik untuk meningkatkan ilmu dalam pengacaraan majlis di samping menjadi medan kepada pelajar mengasah bakat diri sebagai pengacara yang baik bukan sahaja dipraktikkan di sekolah malah ilmu ini dapat digunakan apabila pelajar melangkah meninggalkan alam persekolahan nanti,” ujarnya.

Menurut seorang peserta, Nurin Alya Mohd Asnol, 15, berkata melalui bengkel ini beliau dapat belajar cara penyediaan skrip, lantunan dan intonasi suara yang betul serta fasih dalam penggunaan bahasa kerana ianya salah satu elemen penting sebagai juruacara yang berkaliber.

“Saya amat berminat dalam bidang pengacaraan majlis dan ilmu yang saya peroleh ini adalah asas penting bagi saya untuk mencapai cita-cita sebagai juruacara yang baik sebarisan selebriti televisyen tanah air,” ujarnya.

Jabatan Penerangan Malaysia akan terus memainkan peranan mencipta pelapis-pelapis baru untuk kepentingan masyarakat umum di samping menerapkan nilai-nilai murni dan jati diri terhadap barisan muda rakyat Malaysia selaras dengan kehendak kerajaan.
-NAZ