Floating Coral Bar Tarikan Baharu Pelancongan di Sabah

Laporan/foto: Asmidar Zainol/Marusin Minuddin (Kota Kinabalu)

KUDAT, 22 Apr (Malaysiaaktif) - Timbunan batu karang yang timbul secara semula jadi atau Floating Coral Bar di daerah Pitas, kini berjaya dikomersialkan oleh seorang pengusaha pusat pelancongan tempatan dan lokasi tersebut juga semakin menjadi buah mulut serta tular di laman sosial.

Namun, masih ramai yang belum sampai ke lokasi yang menyediakan pengalaman menikmati hidangan makanan tengahari di tengah lautan antara Laut Sulu dan Laut China Selatan sekaligus menjadi tarikan baharu serta pemangkin kepada sektor pelancongan di Sabah.

Pemandangan Floating Coral Bar Pemandangan Floating Coral Bar



Dengan tempoh perjalanan darat lebih kurang tiga jam dari Kota Kinabalu, diikuti satu jam tiga puluh minit menaiki bot dari Jeti Marina, Kudat pastinya lelah akan berbaloi dek keindahan yang sangat mengujakan.

TIMBUNAN BATU KARANG

Menurut pengarah pusat pelancongan, Victor Tan Vui Kiong, 44, lokasi seluas dua kilometer ini merupakan timbunan batu karang yang telah mati atau juga dikenali dengan batu timbul, terbina secara semula jadi sejak beratus tahun lalu.

Victor (kiri) bersama Pengurus Operasi dan Pemasaran Archangel, Ainah Aying Kisus (kanan) semasa ditemubual media. Victor (kiri) semasa ditemubual media.



“Kami menjumpai lokasi ini sejak lima tahun lepas dan sejak itu kami berfikir apa yang dapat dilakukan di lokasi ini dengan mengambil kira membantu komuniti setempat secara tidak langsung.

“Setelah berbincang dengan wakil komuniti iaitu Persatuan Pelancongan Supirak dan Majlis Tindakan Pelancongan Daerah Pitas, kami membuat permohonan daripada pihak Taman-Taman Sabah untuk memajukan lokasi ini memandangkan ia terletak di dalam kawasan Taman Tun Mustapha yang meliputi kawasan perairan seluas 898,762.76 hektar melibatkan tiga daerah iaitu Kudat, Kota Marudu dan Pitas.

Riadah sambil ditemani deburan ombak Riadah sambil ditemani deburan ombak



“Buat masa sekarang kita telah melatih 15 orang penduduk kampung untuk menjalankan aktiviti di sini seperti snorkeling guide, petugas di pulau dan kru penyediaan makanan, walau bagaimanapun bilangan petugas akan ditambah bergantung kepada keperluan semasa,” kongsinya kepada pemberita.

MASAKAN HALAL

Menurut Victor makanan yang dijamu adalah halal dan disediakan oleh penduduk kampung yang beragama Islam dari Kampung Malubang, Pitas.

Antara makanan yang dihidang Antara makanan yang dihidang



“Makanan yang disediakan tidak dimasak di sini atas sebab menjaga kebersihan dan juga faktor konservasi di Taman Tun Mustapha.

“Kita turut berkerjasama dengan Maktab Koperasi Malaysia Zon Sabah untuk memberikan latihan cara penyediaan makanan yang lebih baik dan teratur.

Victor (empat dari kiri) dan Moktar (dua dari kanan) bertukar MOU sambil disaksikan oleh Toh Puan Norlidah (tengah). Victor (empat dari kiri) dan Moktar (dua dari kanan) bertukar MOU sambil disaksikan oleh Toh Puan Norlidah (tengah).



“Hidangan yang disediakan adalah masakan tempatan yang terdiri daripada makanan laut yang segar serta sayur-sayuran tempatan yang dihidang secara buffet di dalam bot,” jelasnya selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman di antara wakil komuniti dan syarikat, yang turut disaksikan oleh isteri Yang DiPertua Negeri, Toh Puan Norlidah RM Jasni, baru-baru ini.

Menurut Victor, syarikat berkenaan menghadkan kapasiti iaitu 40 hingga 50 orang pelancong sahaja bagi setiap perjalanan ke Floating Coral Bar pada satu-satu masa bagi memastikan keselamatan serta menjamin eko-sistem terumbu karang.

Wakil Archangle dan Taman-Taman Sabah bergambar kenangan bersama Toh Puan Norlidah (duduk, kiri). Wakil syarikat dan Taman-Taman Sabah bergambar kenangan bersama Toh Puan Norlidah (duduk, kiri).



USAHA MEMPERKENALKAN PITAS DIALUKAN

Sementara itu, wakil penduduk yang juga Pengerusi Persatuan Pelancongan Supirak, Moktar Amirol berkata, penduduk kampung mengalu-alukan usaha syarikat dalam membangunkan produk pelancongan di daerah berkenaan.

“Kami amat gembira dengan usaha mereka yang memperkenalkan Floating Coral Bar sebagai salah sebuah destinasi pelancongan di daerah ini.

Toh Puan Norlidah (kiri) turut tidak melepaskan peluang mencuba kayak lutsinar yang disediakan. Toh Puan Norlidah (kiri) turut tidak melepaskan peluang mencuba kayak lutsinar yang disediakan.



“Dengan usaha tersebut, pihak komuniti turut merasai kesannya melalui peluang pekerjaan dan secara tidak langsung dapat menjana pendapatan tambahan daripada kehadiran pelancong ke Floating Coral Bar pada masa akan datang.

“Selain Floting Coral Bar, di Pitas juga turut terdapat tarikan pelancongan lain antaranya Pulau Supirak, Batu Gerawang, Batu Berunsai, Perigi Air Tawar, Batu Dulang, Batu Talam dan Batu Kougun,” katanya.

Floating Coral Bar memberi peluang pekerjaan kepada belia dari kampung berhampiran sebagai kru pulau dan mendapat pendapatan tambahan hasil daripada jualan air kelapa. Floating Coral Bar memberi peluang pekerjaan kepada belia dari kampung berhampiran sebagai kru pulau dan mendapat pendapatan tambahan hasil daripada jualan air kelapa.



BANTU JANA PENDAPATAN TAMBAHAN

Bagi suri rumah, Albaya Sulai, 58, usaha Persatuan Supirak dan syarikat tersebut amat dialu-alukan olehnya dan keluarga.

“Kami sekeluarga mendapat manfaat daripada kerjasama kedua-dua pihak ini, suami dan anak-anak mendapat pekerjaan dengan menjadi pemandu bot tempatan manakala saya akan membantu dalam menyediakan masakan kepada para pelancong.

Moktar ketika ditemu bual. Moktar ketika ditemu bual.



"Saya berharap lebih ramai pelancong akan datang ke sini pada masa hadapan dan menjadikan Pitas sebagai salah satu destinasi pelancongan di negara ini,” ujarnya.
EM