Mistik dan Realiti Ritual Beni’soy, Patung Sepili



Laporan/foto: Mohd Fazli Bin Mohd Zulkifli (Pahang)

JERANTUT, 24 Apr (Malaysiaaktif) – Jah Hut merupakan salah satu suku kaum Orang Asli di dalam keluarga besar Senoi yang mempunyai kepandaian dalam ukiran kayu. Suku kaum ini mendiami kawasan di Daerah Jerantut iaitu di perkampungan Kampung Sungai Kol yang terletak di Damak, Pahang.


Jah Hut sangat terkenal dengan amalan beni’soy iaitu ritual yang diamalkan oleh masyarakat itu untuk mengubati penyakit. Segala jenis penyakit pada zaman dahulu tidak mengira ringan ataupun berat akan segera dirujuk kepada Poyang atau pawang. Ukiran patung dalam kalangan Jah Hut yang dikenali sebagai ‘sepili’ wujud sebagai satu manifestasi kepada bayangan kuasa supernatural.




Antara patung sepili yang diukir seperti patung Bes Mawas, Bes Katak, Bes Pekembor,Bes Buaya dan Bes Bajang Antara patung sepili yang diukir seperti patung Bes Mawas, Bes Katak, Bes Pekembor,Bes Buaya dan Bes Bajang


Pelbagai kisah mistik dan realiti patung ‘Sepili’ kaum Jah Hut di sebalik ukiran kayu tersebut. Dalam kepercayaan masyarakat kaum Jah Hut, terdapat beberapa elemen kepercayaan yang dipanggil Tujuh Roh. Tujuh Roh yang dimaksudkan itu ialah Semangat Orang, Semangat Angin, Semangat Hantu, Semangat Rusa, Semangat Khinzir, Semangat Lalat dan Semangat Hiblis @ Iblis. Elemen-elemen inilah yang akan mempengaruhi samada baik atau buruk semangat di dalam tubuh badan setiap orang.


Batin Fauzi Manjet, 60, ketika ditemui menceritakan fungsi ukiran patung ‘sepili’ di dalam kepercayaan kaum Jah Hut. “Poyang akan menggunakan kuasa baik iaitu Jah Sla’ Naho yang berasal dari pokok Legong untuk membuang bes daripada pesakit. Poyang akan mengadakan upacara beni’ soy selama dua malam. Setelah dikenalpasti penyakit yang dihadapi oleh pesakit, maka poyang akan memaklumkan penyakit itu kepada pengukir sepili. Patung sepili akan diukir bagi tujuan untuk memindahkan penyakit itu ke dalam patung tersebut dan dibuang ke dalam sungai.atau ditanam di dalam tanah.”




Antara ukiran patung sepili yang mendapat tempahan daripada pelancong luar Antara ukiran patung sepili yang mendapat tempahan daripada pelancong luar


Ujar beliau lagi, Sepili ini tidak akan disimpan oleh penduduk kampung mahupun dijadikan perhiasan kerana mereka mempercayai sepili bertujuan untuk membuang sial dan mereka tidak mahu penyakit yang dibuang itu terkena atau kembali kepada mereka semula.


Pernah suatu ketika dahulu, sejenis penyakit misteri telah menimpa salah seorang daripada penduduk kampung tersebut di mana seluruh kulitnya menggerutu dan poyang telah menyembuhkan penyakit misteri itu melalui upacara ritual beni’ soy dengan menggunakan patung sepili bes katak.


Uniknya seni patung ini diukir tanpa memerlukan blueprint atau sebarang lakaran. Ia hanya berdasarkan imaginasi mereka yang sangat tinggi sehinggakan mereka boleh menghasilkan pelbagai bentuk patung yang merujuk kepada penyakit-penyakit yang dialami.


Namun realitinya pada masa kini, keunikan patung sepili telah menarik perhatian pengkaji dan pelancong sehingga menyebabkan permintaan ke atas patung ini meningkat. Semakin halus seni ukirannya, semakin tinggi nilainya di pasaran.


Patung ritual yang dikatakan membawa malang bagi masyarakat Jah Hut ini telah berubah menjadi salah satu nilai kesenian dan jalur kepercayaan mistik yang perlu dipelihara sepanjang zaman. Patung sepili ini mendapat tempahan secara berkala daripada pihak Perbadanan Kraftangan Malaysia untuk memenuhi permintaan pasaran samada dari dalam dan luar Negara.