SKMM Saran Orang Ramai Manfaat myFreeview

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Malaysiaaktif) - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menggalakkan orang ramai supaya manfaatkan perkhidmatan penyiaran digital myFreeview yang menawarkan tontonan lebih berkualiti berbanding penyiaran analog.


Ketua Jabatan Platform Pengedaran dan Penciptaan Digital SKMM Azlina Mohd Yusof berkata perkhidmatan myFreeview ditawarkan secara percuma tanpa kos langganan bulanan sebagai usaha kerajaan menyediakan khidmat penyiaran televisyen dan radio terbaik untuk rakyat.

“Kalau kita lihat di zaman analog kualiti siarannya tidak memuaskan...tapi apabila berhijrah ke teknologi digital kita dapat kualiti siaran yang jelas, mutu gambar dan audio begitu cantik sekali.

“Selain itu, teknologi digital tidak mudah terima gangguan apabila keadaan cuaca tidak elok serta ia boleh siarkan banyak saluran televisyen dan radio dalam satu jaluran frekuensi," katanya selepas menjadi tetamu program 'Ala Carte' terbitan Bernama Radio di Wisma Bernama, di sini hari ini.

Perkhidmatan televisyen digital terrestrial di bawah penjenamaan myFreeview ini adalah satu inisiatif kerajaan yang diberi secara percuma kepada rakyat, dikendalikan syarikat MYTV Broadcasting Sdn Bhd secara pembiayaan sektor swasta.

Azlina turut menggalakkan individu yang menerima dekoder MYTV secara percuma supaya memasangnya bagi menikmati pelbagai manfaat.

“Kita telah buat satu kajian secara rambang melibatkan 600 responden, kita dapati tahap pemasangan dekoder tidak memberangsangkan iaitu tidak sampai 40 peratus. Ia sangat merugikan sekiranya penerima yang diberikan secara percuma tidak memasang dekoder mereka," katanya.

Penerima dekoder percuma dipilih daripada senarai Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSH) terutama golongan isi rumah B40.

Orang ramai yang berminat untuk membeli dekoder berkenaan boleh mendapatkannya dengan harga tidak lebih daripada RM200 dan boleh melayari laman sesawang https://myfreeview.tv atau menghubungi talian 1800181088 untuk maklumat lanjut. - BERNAMA