Penerbangan Sewa Khas Kota Kinabalu Ke Semporna September Depan

Laporan/foto: Norliza Yusof/Volintine Jiloh (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 14 Mei (Malaysiaaktif) - Sipadan Air bakal memulakan perkhidmatan penerbangan sewa khas (chartered flight) antara Kota Kinabalu dan Semporna pada September ini.

Pengerusi Equus Air Sdn Bhd yang mengendalikan Sipadan Air, Datuk Omar Ali Tun Sakaran berkata, buat permulaan penerbangan tersebut akan beroperasi mengikut tempahan pelancong.

“Buat permulaan kita menawarkan sekurang-kurangnya satu penerbangan pagi dari Kota Kinabalu ke Semporna dan dari Semporna ke Kota Kinabalu pada sebelah petang hari yang sama, menggunakan pesawat twin otter.

Pengarah Syarikat Equus Air Sdn Bhd, Adam Abdullah (kiri) dan Omar (tengah) menerangkan sesuatu kepada Tun Juhar (kanan). Pengarah Syarikat Equus Air Sdn Bhd, Adam Abdullah (kiri) dan Omar (tengah) menerangkan sesuatu kepada Tun Juhar (kanan).



"Sekiranya terdapat permintaan yang menggalakkan terutama daripada pelancong domestik, kami akan mempertimbangkan untuk mengadakan penerbangan komersial selain penerbangan sewa khas.

“Kami berharap penerbangan sewa khas ke Semporna ini dapat merancakkan industri pelancongan di kawasan berkenaan terutama Pulau Sipadan yang terkenal sebagai antara pusat aktiviti menyelam terbaik di dunia selain dapat membantu kerajaan Sabah memajukan lagi sektor pelancongan negeri terutama di kawasan pantai timur Sabah.

“Sipadan Air turut merancang untuk menawarkan penerbangan sewa khas dari Kota Kinabalu ke Ranau atau menambah penerbangan dari Kota Kinabalu ke Kudat berdasarkan kepada permintaan pelanggan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Haji Juhar Haji Mahiruddin di Istana Negeri, hari ini.
EM