Jaringan Pengangkutan Rancakkan Pembangunan Tanjung Manis



Laporan/foto: Helmie  Ekni (Sarawak)

KUCHING, 14 Mei (Malaysiaktif) - Sebuah daerah yang pernah terpinggir dari arus pembangunan satu ketika dahulu kini semakin maju setelah terhubung dengan tiga rangkaian pengangkutan.  Dulunya Daerah Tanjung Manis ini dikenali sebagai Daerah Kecil Belawai kini meniti arus pembangunan hasil daripada limpahan industri dan pembangunan mapan.


Semenjak Daerah Tanjung Manis dinaikkan taraf sebagai sebuah daerah penuh pada 1 Oktober 2015, banyak pembangunan telah dirancang bagi memajukan kawasan ini sebagai bandar pelabuhan perindustrian utama dan merupakan elemen penting dalam strategi Hab Halal global Malaysia.


Pelabuhan dalam dapat mengendalikan 100,000 Kontena 40 kaki dan 6 juta Tan kargo umum setahun. Jaringan hubungan untuk sampai ke daerah ini mencakupi tiga elemen iaitu darat, air dan udara meletakkannya sebagai sebuah daerah yang dicemburui oleh banyak kawasan lain di negeri Bumi Kenyalang ini.




Pantai Belawai yang landai dan sesuai untuk percutian dan perkelahan Pantai Belawai yang landai dan sesuai untuk percutian dan perkelahan


Dengan adanya tiga laluan pengangkutan ini telah merancakkan pembangunan sosioekonomi penduduk tempatan. Ransangan ekonomi ini juga turut memberi kesan kepada golongan petani dan nelayan tempatan. Pembesaran pelabuhan dan industri turut memberi impak besar terhadap tenaga kerja dan pembangunan modal insan.


Kelebihan dari segi perhubungan pengangkutan menjadikan Tanjung Manis semakin dikenali ramai khususnya oleh penduduk Bumi Kenyalang. Malah di daerah ini mempunyai tempat menarik seperti pantai berbentuk landai sesuai untuk berekreasi dan bercuti.




Terminal Bot Ekspress tempat persinggahan laluan air Terminal Bot Ekspress tempat persinggahan laluan air


Dua buah bandar yang berhampiran iaitu Sibu (87KM) dan Sarikei (124KM) mengunakan laluan darat dari Belawai. Jika menggunakan laluan air iaitu perkhidmatan bot laju hanya 30 minit dari Terminal Ekspres Tanjung Manis ke Bandar Sarikei dengan bayaran sebanyak RM10.00 manakala ke Sibu lebih kurang satu jam.


Sementara pengangkutan udara pula hanya melibatkan satu sektor sahaja dari Lapangan Terbang Tanjung Manis ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching yang menyediakan perjalanan sekali sehari dari Isnin hingga Ahad. Perjalanan dari kedua-dua arah mengambil masa kira-kira 30 minit sahaja.




Pemandangan udara laluan darat dari Sibu ke Tanjung Manis Pemandangan udara laluan darat dari Sibu ke Tanjung Manis


Lapangan Terbang Tanjung Manis lebih dikenali sebagai 'Stolport' (short and take off landing) sahaja. Berdasarkan kepada saiz demikian, Lapangan Terbang Tanjung Manis boleh menerima pendaratan semua jenis helikopter dan pesawat jenis DHC-6 Twin Otter (Propeller Turboprop).


Antara jenis pesawat yang pernah mendarat di sini ialah jenis  Beechcraft King Air (Propeller Turboprop) 300/350/400, turbine engine Gulfstream 300 dan Bombardier Challenger 605.


Jadual penerbangan  dari Kuching ke Tanjung Manis pada jam 9:40 pagi manakala Tanjung Manis – Kuching pula pada  jam 10:40 pagi  Jadual ini melibatkan hari Isnin sehingga Ahad dan juga tertakluk kepada sebarang perubahan yang dimaklumkan dari semasa ke semasa.


Tambang perjalanan bagi kedua-dua arah adalah RM131 sehala bagi dewasa berusia 13-54 tahun seorang; RM107 sehala bagi kanak-kanak berusia 2 – 12 tahun seorang; RM19 sehala untuk seorang bayi dan RM82 sehala untuk warga emas yang berusia 55 tahun ke atas.


Dengan adanya tiga jaringan pengangkutan ini telah menjadikan Tanjung Manis semakin popular khususnya dalam industri pelancongan, pengusaha industri akuakultur dan perladangan sawit