Akta Sedia Ada Felda Dikaji Semula, Tadbir Urus Dipertingkat

PUTRAJAYA, 14 Mei (Malaysiaktif) - Akta-akta sedia ada berkaitan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan dinilai semula bagi melihat keperluan untuk penambahbaikan atau dipinda bagi mewujudkan tadbir urus lebih baik di masa depan, kata Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata usaha itu juga dapat meningkatkan keupayaan aspek semak dan imbang dalam sistem pengurusan bagi mengelak sebarang penyelewengan tadbir urus agensi itu pada masa akan datang.

Radzi yang ditemui selepas memberi taklimat isu Felda di Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di sini hari ini, berkata masalah yang melanda Felda ketika ini berpunca daripada pengurusan bekas ahli lembaga pengarahnya yang disifatkan beliau sebagai ‘teruk’.

“Ini (berlaku) apabila sistem Felda itu tidak dihormati dan dirosakkan...walaupun sistem itu wujud namun semuanya telah dilanggar,” katanya.

Beliau berkata, susulan kegagalan tadbir urus dan tidak dikawal, hutang Felda melonjak sebanyak 1,100 peratus daripada RM1.2 bilion pada 2007 kepada RM14.4 bilion pada 2017 berbanding kenaikan nilai aset hanya 107 peratus iaitu RM12.1 bilion pada 2007 kepada RM25 bilion pada 2017.

Merujuk hasil penemuan audit forensik ke atas lapan pelaburan Felda termasuk pembelian (saham syarikat Indonesia) Eagle High Plantations TPK pada kadar lebih tinggi berbanding harga pasaran, Radzi berkata ini membuktikan bahawa barisan pengurusan sebelum ini telah melangkaui proses sedia ada bagi membuat keputusan mereka.

“Secara jelas kita lihat bagaimana mereka langgar (sistem yang ditetapkan), kadang-kadang perkara itu dibawa ke lembaga pengarah, adakalanya dibuat sebegitu atau seperti ini. Dia ada kaedah dia (tersendiri) dan akan cari jalan,” katanya.

Mengulas selanjutnya, Radzi berkata penemuan audit forensik ke atas lapan pelaburan tersebut juga merupakan sebahagian daripada kes-kes di Felda.

“Ada kes yang telah selesai, ada yang telah diambil tindakan oleh pihak berkuasa dan ada yang masih dalam proses penelitian. Lapan kes ini merupakan sebahagian kes sahaja dan ada banyak lagi kes,” katanya.

Sewaktu membentangkan Kertas Putih Felda di Parlimen pada 10 April lepas, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut melahirkan keyakinannya bahawa Felda akan pulih dalam tempoh lima tahun akan datang.

Sementara itu, pada sesi soal jawab taklimat berkenaan, Pengarah Besar Felda Datuk Dr Othman Omar yang ditanya mengenai status bekas anggota lembaga agensi itu, berkata tindakan berkaitan telah diambil termasuk mereka terbabit tidak lagi memegang jawatan kritikal dalam Felda pada masa ini.

“Seramai 15 bekas ahli lembaga itu sama ada berhenti, cuti tanpa gaji dan ada yang dipindahkan ke anak syarikat Felda dengan memegang jawatan bukan kritikal,” katanya.

Malah, menurut Othman, pihaknya juga sedang berbincang dengan peguam untuk memastikan serta meneliti sama ada mereka adalah ‘mangsa’ atau ‘pelaku’ dalam setiap keputusan pengurusan sebelum ini.

“Kita akan pastikan mereka akan turut berhak untuk membuktikan telah mengambil tindakan yang sepatutnya,” katanya. - BERNAMA