Tragedi Ramadan 1438h; Maahad Tahfiz Al-Hashimi Kuala Krai Terus Istiqamah

 Laporan/foto: Mohd Zulfadli Ab Hamid/Suhaimi Nik Wil (Kuala Krai)

KUALA KRAI, 14 Mei (Malaysiaaktif) – Tragedi 2 Jun dua tahun lalu pernah menggemparkan negara apabila sebuah van yang membawa pelajar dan tenaga pengajar Maahad Tahfiz al-Hashimi terbabas dan merempuh sebuah rumah di Kampung Telekong, Jalan Kuala Krai-Kota Bharu yang dalam perjalanan untuk menghadiri Program Tafsir al-Quran di Madinah Ramadan.

Kemalangan tersebut mengakibatkan tujuh daripada 12 pelajar tahfiz termasuk seorang pelajar berasal dari Thailand, terbunuh dengan lima daripadanya maut di tempat kejadian manakala dua lagi meninggal dunia di Hospital Kuala Krai.

Namun tragedi pahit itu tidak mematahkan semangat tenaga-tenaga pengajar untuk terus memberikan ilmu, kemudahan dan perkhidmatan demi melahirkan lebih ramai generasi al-Huffaz.

Sebahagian daripada pelajar Maahad Tahfiz al-Hashimi. Sebahagian daripada pelajar Maahad Tahfiz al-Hashimi.



Menurut Pengetua Maahad Tahfiz Al-Hashimi Ustaz Mohd Khalidi Che Haron, 35, Pusat Tahfiz Al-Hashimi ini akan membuat pengambilan pelajar seramai tidak lebih 50 orang bagi setiap tiga tahun.

“Kami sentiasa mengalu-alukan ibu bapa yang ingin menghantar anak-anak mereka belajar di sini dan bagi urusan pemilihan pelajar kami lebih mengutamakan pelajar daripada keluarga miskin dan anak yatim serta lelaki.

“Selain mendidik pelajar menghafaz al-Quran, pihak kami juga amat menitik-beratkan soal akademik dan pelajar kami sememangnya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagaimana pelajar aliran perdana apabila berumur 17 tahun,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini di sini.

Khalidi bersama-sama pelajarnya ketika sesi pengajian berlangsung. Khalidi bersama-sama pelajarnya ketika sesi pengajian berlangsung.



Menurut Khalidi lagi, pelajar-pelajar ini akan tinggal di maahad ini sehingga mereka tamat menduduki SPM dan kebanyakan pelajar berjaya menyambung pengajian mereka ke menara gading.

“Pihak kami akan mengambil pelajar yang telah tamat peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan segala kos pembelajaran, makan minum, penginapan serta lain-lain akan ditanggung oleh pihak kami 100 peratus.

"Buat masa ini, maahad yang diasaskan oleh Datuk Adnan Hashim ini terdiri daripada 26 orang tenaga pengajar termasuk pelbagai kakitangan lain dan mempunyai lebih 60 orang pelajar," tambahnya.

Pusat tahfiz ini turut menyediakan pelbagai kemudahan seperti masjid, dewan, pusat rekreasi bagi aktiviti menunggang kuda, trek memanah dan sebagainya yang turut boleh disewa orang awam.
-SH