Raja Perlis Mencemar Duli Berbuka Puasa Bersama-sama Rakyat

 Laporan/foto: Anuar Che Amat (Perlis)

KANGAR, 15 Mei (Malaysiaaktif) - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Berbuka Puasa anjuran Kerajaan Negeri Perlis  bertempat di Dewan Warisan, di sini semalam.

Keberangkatan baginda dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid disambut oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Seramai lebih 500 orang jemputan terdiri daripada pegawai-pegawai kerajaan negeri dan persekutuan, wakil- wakil penduduk serta para pelajar daripada beberapa pusat pengajian di negeri berbesar hati menghadiri majlis ini.

Tuanku Raja Perlis turut berkenan menunaikan solat Maghrib dan Isyak serta menunaikan solat Tarawih serta mendengar tazkirah yang disampaikan Mufti Perlis, Mohd Asri Zainal Abidin pada majlis tersebut.

Dalam pada itu, Raja Perempuan Perlis turut berkenan menyampaikan sumbangan dari Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada beberapa rumah jagaan orang tua di negeri ini.
-SH