DRMM, Dasar Perumahan Untuk Semua

Laporan & Foto : Mohamad Zairin Bin Mohamad Zin (Selangor)

SHAH ALAM, 15 Mei (Malaysiaaktif) - Dasar Perumahan Mampu Milik Negara (DRMM) dan Standard Perumahan Kebangsaan (CIS 26) telah dilancarkan oleh Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin bertempat di Elmina Central Park, Shah Alam.

DRMM ini merupakan sub-dasar di bawah Dasar Perumahan Negara (2018-2025) yang menggariskan standard, spesifikasi utama dan harga jualan sebagai panduan bagi pembangunan rumah mampu milik yang berdaya huni dan selamat didiami. Dasar ini juga menakrifkan ciri-ciri utama perumahan mampu milik bagi kategori bertingkat dan bertanah seperti keluasan, piawaian rumah berkualiti, teknologi pembangunan dan kemudahan awam.

"Dasar ini merupakan bukti bahawa kerajaan memberikan komitmen yang tinggi untuk menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat yang bukan hanya fokus pada penyediaan rumah saja tetapi menawarkan aspek keselesaan dan kualiti hidup kepada mereka," ucap Zuraida.

"Di bawah dasar ini, kerajaan menggalakkan kesemua pembinaan jenis ini dimiliki oleh golongan B40 daripada pelbagai sektor kerja tidak kira awam mahupun swasta yang layak demi memastikan kelestarian hubungan dalam suatu komuniti dapat diterapkan dan diwujudkan," ujar beliau lagi.

Selain itu, beliau turut berkata dalam dasar rumah mampu milik ini akan diselaraskan semua bahawa tidak ada skim khas untuk penjawat awam saja tetapi digabungkan semuanya dalam satu perumahan.

Tambah beliau lagi, "rumah mampu milik yang dibangunkan melalui dasar ini akan menggunakan Sistem Bangunan Berindustri (IBS) bagi memastikan harga jualan rumah ini di bawah RM300,000".

"Untuk harga jualan rumah, ia tidak selaras bagi seluruh negara tetapi sebaliknya bergantung kepada pendapatan golongan B40 di sesebuah negeri, sebagai contoh harga rumah di Selangor tidak sama dengan harga rumah di Terengganu," kata Zuraida

"Dasar ini bukan saja menenkankan hanya pada keluasan rumah saja tetapi kualiti material bahan pembinaan yang lebih baik agar dapat memberi keselesaan penghuninya," ujar beliau.

Dasar baharu ini bertujuan untuk memperkasa perumahan mampu milik yang sistematik, mampan dan inklusif sebagai tanggungjawab sosial kerajaan bagi menyedia dan meningkatkan akses perumahan kepada rakyat Malaysia.

Sehingga 30 April 2019, sebanyak 163,636 unit rumah mampu milik telah siap dan dalam pembinaan oleh pelbagai agensi persekutuan dan negeri.

Turut hadir sama adalah Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir dan Pengerusi Sime Darby Property, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz.

-NAZ