Ziarah Ramadan MPPWPL Santuni Komuniti Bukan Islam

Laporan/foto: Haziq Ruslain

LABUAN, 15 Mei (Malaysiaaktif) – Perbezaan agama dan budaya tidak menjadi penghalang Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Labuan (MPPWPL) menyantuni dan menghulur bantuan kepada komuniti bukan Islam.

Menurut Pengerusinya Simsudin Sidek, golongan yang memerlukan bantuan dalam kalangan komuniti bukan Islam turut didekati bagi meraikan bulan yang ditunggu-tunggu umat Islam iaitu bulan Ramadan.

Simsudin (enam dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada golongan kurang berkemampuan di Kampung Patau-Patau 1 yang diwakili S. Roslee. Simsudin (enam dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada golongan kurang berkemampuan di Kampung Patau-Patau 1 yang diwakili S. Roslee.



"Melalui program Ziarah Ramadan ini, ahli-ahli MPPWPL bersama agensi-agensi yang terlibat dapat memantau perkembangan serta keperluan para penduduk di dalam zon masing-masing di samping memberi peluang kepada masyarakat beramah mesra bersama pemimpin tempatan.

“Ziarah Ramadan yang telah memulakan siri jelajah Labuan pada Sabtu lepas akan diteruskan sekitar kampung di Labuan sepanjang Ramadan bagi meringankan beban golongan yang memerlukan dalam persiapan menyambut kedatangan Syawal,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada Pengerusi MPKK Kampung Sungai Keling, Tan Beng Hian di Surau Al-Munawarah, Kampung Patau-Patau 1 baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Kampung merangkap Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Patau-Patau Satu, S. Roslee Matusin berkata dengan adanya program-program sebegini, pihak MPPWPL dan agensi-agensi kerajaan dapat mendekati dan melihat sendiri bagaimana dan situasi hidup mereka yang sangat memerlukan.

Simsudin (tengah) bersantai semasa moreh bersama penduduk setempat. Simsudin (tengah) bersantai semasa moreh bersama penduduk setempat.



Beliau turut berharap agar program itu diteruskan di masa hadapan agar ukhwah dan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat di pulau itu terus disuburkan serta boleh menjadi ikutan kepada generasi muda.

Turut hadir Pengarah Penerangan Labuan, Supian Musa dan para Ahli Jawatankuasa Surau Al-Munawarah, Kampung Patau-Patau 1.
EM